F Pujaan Malaya angkat kisah cinta komedi | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Pujaan Malaya angkat kisah cinta komedi

SELEPAS mengarahkan naskhah air mata, percintaan dan komedi, pengarah terkenal, Shuhaimi Luar menerusi syarikat produksinya, Tanah Beris Film Production Sdn Bhd tampil dengan karya romantik komedi, Pujaan Malaya.

Menurut Shuhaimi, telefilem yang bakal ditayangkan di TV9, 15 Ogos ini jam 8.30 malam menerusi slot Skrin9, merupakan percubaan pertamanya mengarahkan telefilem komedi romantik.

Ujar Shuhaimi, idea telefilem ini merupakan ilham dari klip video berjudul sama oleh seorang komposer, Fazo Dclef.

"Saya ada menguar-uarkan mencari seorang komposer untuk mengangkat karya mereka ke telefilem dan Fazo telah memberi idea mengenai klip video Pujaan Malaya yang mungkin boleh dikembangkan.

"Jadi saya hantar idea itu ke TV9 dan mereka menyukai idea tersebut.

"Memandangkan Fazo tidak boleh menulis skrip, jadi saya minta bantuan Zyza Backy untuk menulis skrip telefilem ini," katanya kepada Zass.

Pujaan Malaya menyaksikan gandingan pelakon baharu Idris Khan bersama Ruhainies dan turut dibantu Azad Jasmin, Shamsul Ghau Ghau, Balkisyh Semundur Khan dan Nadzmi Adhwa.

Berkongsi mengenai penggambaran telefilem ini, Shuhaimi berkata, mereka menjalani penggambaran pada bulan puasa lalu selama enam hari di sebuah restoran di Shah Alam.

Katanya, faktor puasa memberi sedikit cabaran buatnya dan krew untuk bekerja pada waktu siang.

"Kebetulan ketika kita berpuasa baru-baru ini, cuaca agak panas, jadi krew cepat letih.

"Jadi saya cuba hadkan penggambaran di luar. Mujurlah ia banyak berkisar mengenai suasana di kafe, jadi saya manfaatkan masa yang ada untuk menjalani penggambaran di dalam kafe.

"Bagaimanapun saya lega kerana semuanya dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan," katanya.

Di tanya mengenai pemilihan pelakon pula, Shuhaimi berkata, penglibatan Ruhianies dan Idris serta pelakon yang lain merupakan persetujuan bersama stesen TV.

"Kita ada beberapa nama yang dicadangkan dan begitu juga stesen TV ada mencadangkan beberapa nama.

"Jadi kami sepakat untuk menggandingkan Idris bersama Ruhainies.

"Macam Idris, saya memang mahu kembali bekerja dengannya selepas kali terakhir bekerjasama menerusi drama Puteri Gunung Ledang.

"Manakala Nadzmi dan abang Shamsul saya memang sudah biasa bekerjasama dengan mereka," jelasnya.

Telefilem ini Lisa gadis cantik yang kuat berangan dan malas bekerja setelah tamat peperiksaan STPM. Hidup Lisa boleh dikatakan hampir lengkap. Lisa cantik bergaya, hidup senang kerana ayahnya, Pak Akob, pengusaha cafe ”Pujaan Malaya” yang memanjakannya bagai menatang minyak yang penuh setelah kematian ibu Lisa bertahun lalu.

Yang kurang dalam hidup Lisa kini adalah kehadiran sang putera kacak 'Mr Perfect' untuk melengkapkan impian dan angannya selama ini.

Hidup Lisa berubah 360 darjah apabila ayahnya menghilangkan diri, meninggalkan cafe 'Pujaan Malaya' untuk diuruskan oleh Lisa.

Adik Pak Akob, Che Mawar, terpaksa menggalas tugas sebagai pengurus cafe kerana Lisa langsung tak tahu cara untuk menguruskan cafe kesayangan ayahnya itu.

Kemunculan Yusry, jejaka kacak namun lurus bendul dan kelam kabut, berjaya membuka mata Lisa yang seakan tidur tak bermaya sepanjang masa. Yusry di mata Lisa bagaikan putera kacak yang jatuh dari langit hingga Lisa jatuh cinta pandang pertama.

Yusry merubah hidup Lisa, menjadikan Lisa seorang yang rajin menguruskan cafe Pujaan Malaya kerana Yusry saban hari mengunjungi cafe tersebut untuk bersarapan dan makan malam.

Sementara itu, Zack, seorang peniaga tekstil yang berjaya juga menaruh hati terhadap Lisa dan melakukan berbagai cara untuk menarik hati Lisa.

Cinta yang baru berputik di hati Lisa dan Yusry berantakan apabila Lisa mengetahui Yusry sebenarnya hanyalah seorang pemandu peribadi.

Apakah Lisa kembali menerima cinta Yusry atau terus kekal dengan Zack yang sememangnya kaya dan penuh mencintainya?
Powered by Blogger.