F Namewee Makin Melampau! Tangkap, Masukkan Dia Dalam Lokap | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Namewee Makin Melampau! Tangkap, Masukkan Dia Dalam Lokap

Persatuan Seniman (Seniman) mahu tindakan tegas diambil terhadap pengarah kontroversi, Namewee yang disifatkannya sudah melampau berhubung sebuah klip video lagu, ‘Oh My God’.

Presidennya, Zed Zaidi berkata, Namewee semakin berani mengguris perasaan rakyat beragama Islam di negara ini gara-gara perbuatannya sebelum ini tidak dikenakan tindakan tegas.

“Sebelum-sebelum ini dia buat juga tapi sekarang dia berani buat lagi kenapa? Kerana tidak ada tindakan. Esok dia buat lagi. Orang macam ini, kena tangkap, masukkan dalam lokap.

"Bila dia tayang di YouTube, satu dunia boleh tengok. Maknanya, dia nak tunjuk kononnya agama Islam di Malaysia ini terlalu liberal sampai boleh menari dalam masjid,” katanya.

Polis Pulau Pinang dilaporkan telah membuka kertas siasatan berhubung video yang menjadi viral tersebut dan akan memanggil Namewee serta beberapa individu termasuk mereka yang terlibat dalam pembikinan video itu bagi membantu siasatan.

Video klip berlatarbelakangkan beberapa rumah ibadat termasuk masjid itu menunjukkan aksi empat lelaki yang menyanyikan lagu ‘Oh My God’ dengan memakai pakaian ketua-ketua agama di negara ini.

Dalam pada itu, Zed Zaidi mencadangkan segala lesen produksi diberikan kepada Namewee ditarik balik.

"Terutamanya Kementerian Komunikasi dan Multimedia, SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan juga Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia), saya cadangkan, apa sahaja lesen produksi dia (Namewee), tarik balik.

"Siasatlah perkara ini supaya kejadian itu tidak berulang lagi sebab Namewee ini sudah terlalu banyak buat perangai," katanya.

Menurutnya lagi, Lembaga Penapisan Filem (LPF), Finas dan SKMM perlu bertanggungjawab dalam menyediakan garis panduan melibatkan media sosial melibatkan visual dan sebagainya berkaitan.

"Maknanya untuk syarat-syarat dalam media sosial macam YouTube ini, apa yang boleh dan tak boleh. Kalau langgar syarat itu, SKMM boleh tutup akaun Youtube atau apa saja tindakan yang difikirkan perlu.

"Sekarang ini sudah melampau sangat. Selagi tidak ada tindakan seperti tangkap, tarik balik lesen atau geran, tutup akaun, selagi itu, dia akan terus berani. Penguatkuasaan ada tapi tak kuat. Cuba tangkap dan masukkan dalam lokap, esok tak ada lagi orang berani buat. Mereka takut," katanya.

Katanya, media sosial di negara ini memang memerlukan kawalan yang spesifik kerana tahap keselamatan dan penguatkuasaannya sangat rendah.
Powered by Blogger.