F Muhammad Alief diminta hadir mendaftar diri di UUM | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Muhammad Alief diminta hadir mendaftar diri di UUM

Universiti Utara Malaysia (UUM) bersetuju menerima kemasukan Muhammad Alief Aiman Muhamad, 19, yang ditawarkan untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Kewangan dengan Kepujian bagi sesi 2016/2017, walaupun berdepan kekangan kewangan.

Dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Komunikasi Korporat UUM kepada Sinar Harian, memaklumkan, Muhammad Alief dari Kampung Permatang Tinggi, Pengkalan Bharu, Pantai Remis, diminta mendaftarkan diri sebagai pelajar di UUM pada 28 Ogos (esok).

 “Pihak universiti berharap Muhammad Alief  dapat mendaftarkan diri pada hari pendaftaran esok pada jam 8.30 pagi, seperti pelajar-pelajar baharu yang lain. Kes seperti ini bukanlah perkara baharu kerana sebelum ini, ada pelajar menghadapi masalah sama tetapi masih dibenarkan mendaftar diri di UUM,” katanya.

Menurut kenyataan itu, UUM turut mengambil inisiatif menghubungi keluarga Muhammad Alief untuk memaklumkan berita gembira itu selain berbincang mengenai proses pendaftaran diri pada hari berkenaan.

 “UUM juga ingin merakamkan penghargaan atas keprihatinan Sinar Harian mengenai kebajikan pelajar terbabit,” katanya.

Merujuk kepada Sinar Online bertarikh 27 Ogos, rintihan ibu kepada Muhammad Alief yang disiarkan, ‘Tiada wang daftar anak masuk IPTA’, mendapat perhatian banyak pihak.

Ibunya, Rozita Maznan, 43, buntu selepas gagal menemui cara untuk membayar wang yuran pendaftaran anak keduanya itu untuk melanjutkan pengajian di UUM kerana kekangan kewangan.

Muhammad Alief baharu sahaja menamatkan pengajian dari Kolej Matrikulasi Perlis, April lalu, turut memperoleh keputusan cemerlang dengan PNGK 3.92.
Powered by Blogger.