F Mawar Putih: Impian Mak Nani terlaksana | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Mawar Putih: Impian Mak Nani terlaksana

BIARPUN dinasihatkan agar tidak lagi melibatkan diri dalam dunia pengarahan oleh anak-anak dan ahli keluarga, ia tidak menjadi penghalang buat seniwati Datuk Rosnani Jamil menghasilkan filem terbaru arahannya, Mawar Putih.

Sedar kebimbangan anak-anak terhadap kesihatannya, Rosnani atau lebih mesra disapa Mak Nani akur untuk meletakkan Mawar Putih sebagai noktah penglibatannya dalam bidang seni.

Ujar Mak Nani, karya Mawar Putih dihasilkan sebagai tanda penghargaan buat Allahyarham suami tercinta, Datuk Jamil Sulong.

"Anak-anak memang dah lama minta saya berehat dari dunia seni. Tapi ada sahaja idea yang terlintas di kepala saya.

"Tapi saya tekad untuk menghasilkan Mawar Putih dan ia juga menjadi naskhah terakhir saya di dalam industri. Ia juga akan menjadi kenangan daripada saya sebagai pengarah.

"Selepas ini saya boleh berehat dan menziarahi anak-anak yang berada di luar negara," katanya ketika ditemui media pada majlis tayangan filem Mawar Putih di Pitching Centre, Platinum Centre, Kuala Lumpur.

Sebelum ini Mak Nani pernah mengarahkan filem Mawar Merah (1986), Antara Dua Hati (1989), Memori (1992), Amelia (1996) dan Bicara Hati (2004).

Tambah Mak Nani, filem Mawar Merah melambangkan kematangan dalam pencarian kerjayanya dan dunia pengarahan.

Kini dia mahu menutupi dunia seninya dengan sesuatu yang lebih tulus dan bersih, secantik dan sewangi mawar putih.

Demi merealisasikan impiannya juga, Mak Nani sanggup menggunakan wang simpanannya selama ini. Malah dia juga amat berterima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kerana membantu dari segi sokongan dan dana.

"Dalam cuba berjimat, saya berhabis hampir RM1 juta juga untuk filem ini. Mujurlah Finas ada bantu, jadi dapatlah saya melakukan penggambaran semula untuk mencantikkan lagi filem ini.

"Saya juga sedar filem ini ada banyak kelemahan, kalau saya ada bajet lebih besar, saya pasti mahu menghasilkan yang lebih baik.

"Namun saya juga berharap generasi muda memberi peluang dan menghargai filem sentuhan orang lama seperti saya," katanya.

Mak Nani, satu-satunya seniwati veteran yang masih aktif dalam dunia seni dan mendapat pencapaian tertinggi dalam dunia seni tanah air.

Memulakan kerjaya sebagai pelakon biasa kemudian berpeluang melanjutkan pelajaran ke London dalam jurusan filem sebelum melebarkan sayapnya sebagai penulis skrip, penerbit dan pengarah.

Kecantikan bumi Padang

Mawar Putih memulakan penggambaran pada 17 Ogos 2015. Lokasi dipilih selain Kuala Lumpur ialah di tanah kelahirannya Padang dan Bukit Tinggi, Sumatera.

"Saya bangga untuk membawa orang melihat tempat kelahiran saya di dalam filem ini.

"Malah saya juga berharap dapat membawa filem ini ke Padang dan ditayangkan secara percuma untuk penduduk di sana. Bagaimanapun ia masih lagi dalam proses perbincangan," katanya.

Powered by Blogger.