F Marhaban Kome Oi bukan karya syok sendiri | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Marhaban Kome Oi bukan karya syok sendiri

SUDAH menjadi satu kelaziman atau adat dalam masyarakat Melayu untuk menjemput kumpulan marhaban ke rumah mereka demi menghidupkan lagi suasana majlis yang diadakan.

Bagaimanapun pernahkah anda terfikir apa akan berlaku sekiranya kumpulan marhaban tersebut dianggotai sekumpulan wanita yang bermacam-macam ragam?

Begitulah 'meriah' kumpulan Marhaban wanita yang mengelarkan diri mereka “Wardah” menerusi drama 20 episod, Marhaban Kome Oi yang sudah pun bermula tayangan di TV3 sejak 18 Julai lalu.

Drama terbitan A.Aida Production Sdn. Bhd. yang diarahkan Nuad Hj. Othman ini membariskan pelakon-pelakon berbakat seperti Fauziah Nawi, Delimawati, Kartina Aziz, Watie Sadali, Ana Dahlia, Tash Yong dan ramai lagi.

Bercerita mengenai Marhaban Kome Oi, Nuad berkata, naskhah kali ini jauh berbeza dengan drama serta telefilem yang pernah diarahkan sebelum ini.

Selain menggunakan pelbagai loghat Perak, drama ini juga sebenarnya mengangkat kisah masyarakat dan pentingnya kekuatan bangsa Melayu.

"Peredaran masa dan zaman menyebabkan aktiviti marhaban ini tidak semeriah dulu. Kalau di bandar, susah kita dapat melihat kumpulan marhaban.

"Tapi kalau dulu, bagai menjadi adat, apa sahaja aktiviti mesti dimulai dengan marhaban.

"Ia melihat bagaimana masyarakat Melayu bersatu dalam sesuatu aktiviti seperti berkhatan, kenduri kahwin, akikah dan sebagainya.

"Tapi saya juga ingin mengingatkan, kumpulan marhaban ini tidak semestinya dianggotai oleh mereka yang pakar tentang agama.

"Kumpulan marhaban juga terdiri daripada manusia biasa yang banyak ragamnya. Jadi saya gabungkan semua elemen itu di dalam Marhaban Kome Oi," ujarnya.

Tambah Nuad, cabaran utama dalam menyiapkan naskhah ini adalah membentuk karakter berbeza untuk setiap pelakon.

"Saya tak mahu menjadi pengarah yang syok sendiri. Saya tak mahu kami hanya ketawa di set tapi penonton di rumah tidak rasa kelakar.

"Jadi pada hari pertama di set, saya bentuk setiap karakter berbeza agar mereka dapat berikan komedi yang berbeza.

"Menggunakan loghat Perak sepenuhnya, jadi semua pelakon harus tahu bercakap loghat sana. Keadaan agak sukar buat Sabhi Saddi dan sebab itulah saya letakkan karakter dia sebagai lelaki gagap," katanya.

Nuad berkata, apa yang diharapkan drama ini akan dapat diterima ramai dan dia berharap adat Melayu ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

"Saya berterima kasih kepada A. Aida Production dan TV3 kerana memberi peluang kepada saya mengarahkan drama ini," jelasnya.

Marhaban Kome Oi mengisahkan kumpulan marhaban yang diketuai oleh Ustazah Faridah (Fauziah Nawi). Mereka amat komited terhadap aktiviti marhaban dan sering mendapat undangan.

Perwatakan dan karenah setiap ahli marhaban yang berbeza ini sering menimbulkan pelbagai insiden lucu dan mencuit hati.

Pada suatu malam, ketika sesi latih marhaban sedang berjalan, Mak Dara (Ana Dahlia) telah memberitahu kepada ahli kumpulan yang lain bahawa kumpulan Marhaban Kome Oi (MKO) telah dijemput untuk menyertai pertandingan marhaban peringkat daerah.

Sebenarnya Mak Dara telah mendaftarkan nama kumpulan MKO untuk pertandingan ini sebagai satu bentuk promosi.

Konflik berlaku apabila salah seorang ahli kumpulan MKO, Kak Besah Lawa (Watie Sadali), tidak dapat menyertai pertandingan itu kerana dia bercadang untuk ke Paris bersama-sama dengan bekas-bekas ratu cantik.

Adakah mereka berjaya menyertai pertandingan ini dan memenangi hadiah utama berupa wang berjumlah RM10,000?

Ikuti kisah kumpulan marhaban Marhaban Kome Oi yang dianggotai oleh ahli-ahli kumpulan pelbagai warna karakter dalam Marhaban Kome Oi setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 6.30 petang di slot Iris, TV3.
Powered by Blogger.