F Lepas Rindu, Anne Ngasri 'Curi' Peluang Berlakon | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Lepas Rindu, Anne Ngasri 'Curi' Peluang Berlakon

Pelakon Anne Ngasri mengakui terpaksa melepaskan tawaran berlakon kerana kekangan masa dek kesibukan menguruskan keluarga dan anak-anak yang kini menjadi keutamaanya.

Begitupun menurut pemilik nama sebenarnya Ngasriah Ngasri, 32, ini tidak bermakna dia meninggalkan terus dunia lakonan sebaliknya kerjaya itu kini dijadikan sebagai hobi.

Sekali sekala, sekiranya mahu melepaskan rindu dia akan muncul menerusi drama terbitan produksi miliknya yang diusahakan bersama kakaknya, Darling.

"Saya tak tinggalkan dunia lakonan, masih berlakon dan sekarang sebagai hobi. Lagipun, saya memang hadkan penglibatan saya dalam aktiviti seni termasuklah tidak menerima tawaran yang memerlukan saya menjalani penggambaran di luar Kuala Lumpur.

"Suami tidak pernah menghalang saya berlakon tetapi itu memang keputusan saya sendiri. Tambahan saya mempunyai empat orang anak yang sedang membesar. Walaupun ada pembantu rumah, saya lebih senang menguruskan anak-anak

"Sebab itu saya hanya memilih tawaran tertentu saja. Kalau gian sangat nak berlakon, kadang kala saya menyelit dalam drama terbitan syarikat produksi saya," katanya yang sudah menceburi bidang lakonan sejak di usia empat tahun lagi.

Pelakon yang cukup dikenali menerusi sitkom popular 90-an, Cili Padi, ini mendirikan rumah tangga dengan Mohd Sumali Reduan, 42, pada 22 Disember 2012. Menerusi perkahwinan itu, Anne dan Sumali dikurniakan seorang anak lelaki, Sufi Harraz yang kini berusia tiga tahun.

Hasil perkahwinan terdahulu bersama bekas suami, Abdul Wafi Hassan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Abdul Warits, 11, Abdul Wafri, 8, dan Nazharah Afrozah, 6.

Sumali pula mempunyai seorang anak lelaki, Sufian Hakim,12, hasil perkahwinan terdahulunya.

Dalam pada itu, Anne berkata dia tidak memilih watak yang ditawarkan namun memastikan bersesuaian dengan statusnya sebagai isteri dan ibu.

"Saya tidak kisah bawa watak apa tapi sebagai seorang yang sudah bergelar isteri dan ibu, saya masih menjaga batas-batasnya. Saya rasa pihak produksi pun tahu dan mereka akan berikan saya watak yang betul-betul sesuai.

Sementara itu, mengulas mengenai pencalonannya dalam kategori Pelakon Pembantu Filem Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-28 (FFM28), Anne mengakui terkejut namun dalam masa sama teruja.

Katanya, dia mendapat tahu berita gembira itu selepas menerima kirimann pesanan ringkas (SMS) daripada wakil pihak Grand Brilliance (GB) yang menyampaikan ucapan tahniah. Namun dia tidak membalas kiriman tersebut kerana tertanya-tanya tujuan ucapan itu diberikan padanya. Sehinggalah dia menyemak akaun Instagram dan mendapat tahu namanya tersenarai dalam percalonan akhir.

Tambahnya lagi, dia menjalani penggambaran filem Love Supermoon yang asalnya diberi judul Pengapit dan menyangka filem tersebut tidak akan ditayangkan.

"Saya terima kiriman SMS ucap tahniah kepada saya, tetapi ketika itu saya pelik dan tertanya-tanya tahniah kerana apa? Sehinggalah keesokannya saya buka Instgram dan dapat tahu nama saya tercalon.

"Bagi saya, filem Love Supermoon beri banyak kejutan pada saya. Apabila saya tercalon di FFM28, lagilah saya terkejut. Inilah satu-satunya lakonan saya dalam filem selepas 10 tahun tidak berlakon.

"Apa pun saya bersyukur dengan pencalonan ini dan berterima kasih kepada juri kerana memilih saya," katanya.
Powered by Blogger.