F Kerjaya si pengurus pentas | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Kerjaya si pengurus pentas

KEJAYAAN pementasan teater muzikal kanak-kanak, Ali Baba melonjakkan nama Ramli Lani sebagai pengurus pentas sehingga dikenali.

Tambahan pula, teater yang melibatkan 80 kanak-kanak berumur sekitar 5 hingga 12 tahun itu merupakan tugasan pertamanya, namun Ramli berjaya menunjukkan kewibawaannya.

"Alhamdulillah, itu adalah pencapaian terbesar saya sekali gus meninggalkan satu pengalaman menarik dan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.

"Bahkan, teater itu juga membuatkan bidang kerjaya saya sebagai pengurus pentas semakin meluas," katanya kepada Zass.

Sejak itu, Ramli diberi kepercayaan menjadi pengurus pentas bagi pelbagai persembahan sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Antaranya ialah Teater Cindua Mato, Teater Ombak Rindu, Teater Zombie La La La, Teater Kenangan Mengusik Jiwa,  Majlis Rumah Terbuka Malaysia,  Teater Bikers Kental, Teater Sirah Junjungan 1 & 2, Teater Mak Cun, Teater Muzikal Cheng Lock,

Teater Wira Samudera, Konsert Bongkar Wings, Konsert Nusantara, Laures World Sport Awards, IFFA Awards, ATN Awards dan Muzikal Magic Mirror.

Kata Ramli, pengurus pentas bermaksud pengendalian sekumpulan tenaga kerja bagi menjayakan sesebuah produksi.

Jelasnya, pengurus pentas juga berfungsi sebagai saluran penghubung di antara tenaga produksi dengan pihak pentadbiran dan bertanggungjawab melaksanakan apa yang telah di rancang supaya berjalan lancar.

"Pengurus pentas sangat berhubung rapat dengan pengarah, pereka tata cahaya dan juga pereka bunyi.

"Jadi, pengurus pentas perlu memastikan kelancaran pementasan supaya tidak timbulnya sebarang masalah lain," katanya.

Tambahnya lagi, pengurus pentas juga merupakan peneraju pada hari persembahan.

"Kerana itu, segala tugas pentas seperti pertukaran set, pakaian, make-up, keluar masuk pelaku dan props yang digunakan pada hari pementasan adalah di bawah pengawasannya,” katanya.

Anak bongsu daripada sembilan beradik berkata, kejayaan dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang berbangkit merupakan satu kepuasan sepanjang bergelar pengurus pentas.

"Kadang-kadang, di dalam sesuatu persembahan, terdapat masalah teknikal yang timbul.

"Ketika itu, pengurus pentas perlu memainkan peranan menyelesaikan masalah  dalam kadar segera supaya persembahan tidak terganggu.

"Saya puas apabila setiap tugasan yang diberikan dapat dilakukan dengan terbaik di samping mesti sentiasa kreatif," katanya.

Lantaran itu, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini mengakui kerjayanya itu tetap mempunyai cabarannya.

"Setiap  produksi cabarannya adalah berbeza apatah lagi si pengurus pentas mesti melaksanakan tugasnya mengikut kehendak pengarah.

"Biasanya, saya akan memberi pandangan atau idea mengenai apa-apa perubahan daripada segi pentas dan set bagi ‘mencantikkan’ lagi sesuatu persembahan,” katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang ini.

Mula diberi perhatian

Kini, Ramli bertugas sebagai Penyelia Pentas Kanan di Istana Budaya (IB).

Menurutnya, karier sebagai pengurus pentas sudah mula diberi perhatian  apatah lagi dengan pelbagai tawaran pengajian dalam seni persembahan di universiti awam mahupun swasta.

"Ramai graduan yang mengambil jurusan seni persembahan berkebolehan dalam bidang ini.

"Cuma mereka harus diberi lebih pendedahan kerana bidang ini masih baharu di sini. Tidak seperti di Eropah atau di Amerika yang telah lama ada," katanya.

Sementara itu, selain bertindak sebagai pengurus pentas, Ramli juga merupakan bekas artis budaya dan sering mewakili negara ke seluruh dunia antaranya Festival Tari di Korea, Jepun, China, Rusia, Eropah dan Amerika Syarikat.

Ramli juga menjadi koreografer bagi program ke-50 negara antaranya New Delhi, India dan Taiwan selain pernah terlibat dalam lakonan persembahan teater seperti Malam Ini Penyu Menangis, Teater Uda dan Dara, Teater Siti Zubaidah, Teater Tengku

Anum, Teater Kaba Kasih Menanti dan Kuala Lumpur Oh Kuala Lumpur.

"Saya juga dipilih untuk menjadi pengarah persembahan bagi Konsert Gegar 5 Legenda, Malaysia Weeks London, Asean Tourism Forum dan Magic Of The Night.

"Alhamdulillah, saya turut diberi peluang bergelar pengarah menerusi Teater Lela Manja yang berlangsung baru-baru ini,” katanya.
Powered by Blogger.