F Kelihatan Selekeh, Amerul Affendi Mula Bosan Watak Antagonis | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Kelihatan Selekeh, Amerul Affendi Mula Bosan Watak Antagonis

Pelakon Amerul Affendi tidak berasa terkilan apabila sering diberikan watak pembantu walaupun lakonannya sentiasa mendapat perhatian penonton.

Amerul atau nama sebenarnya Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi, 30, berkata, dia tidak menjadikan perkara itu sebagai ukuran sebaliknya paling penting dia menjalankan amanah diberikan sebaiknya.

"Kita semua tahu itu adalah rezeki daripada Allah dan saya tidak pernah berasa kecil hati apabila sering diberikan watak pembantu sahaja.

"Posisi dalam sesebuah drama atau filem bukan fokus kerana saya pandang sesuatu tawaran itu sebagai amanah yang perlu saya lunaskan sebaik-baiknya.

"Saya tidak mahu mengambil gaji diberikan dengan mengabaikan tanggungjawab saya walaupun hanya watak sampingan," katanya.

Amerul bakal muncul dengan filem lakonan terbaharunya berjudul Pekak disamping Sharifah Amani, Zahiril Adzim, Sharifah Sakinah, Joe Flizzow dan Iedil Putra.

Diarahkan oleh Mohd Khairul Azri, naskah berkenaan bakal menemui penonton di pawagam bermula 1 September ini.

Dalam pada itu, Amerul berkata, dia berasa bersyukur kerana dengan lambakan pelakon-pelakon baharu pada hari ini rezekinya dalam bidang lakonan masih baik.

Bagaimanapun dia berharap diberi peluang untuk mencuba watak selain antagonis yang sudah menjadi makanannya dalam mengembangkan kariernya kehadapan.

"Saya sebenarnya sudah bosan melakonkan watak antagonis dan sentiasa kelihatan selekeh dalam filem atau pun drama lakonan saya.

"Alhamdulillah rezeki masih ada tetapi harap-harap selepas ini dapat memainkan watak sebagai bos yang berpakaian kemas," ujarnya.

Bercakap mengenai Pekak, Amerul berkata, cabaran terbesar melakonkan watak Azman adalah untuk menzahirkan sifat seorang penagih dadah yang sebenar.

Selain membuat carian di Google dan menonton video di Youtube, Amerul juga mengambil kesempatan meninjau kehidupan golongan berkenaan di Jalan Chow Kit bagi mendapat realiti sebenar mereka.

"Kebetulan penggambaran berlangsung di kawasan berkenaan dan saya mengambil kesempatan meninjau keadaan mereka dan dari situ saya gunakan untuk menghidupkan watak Azman yang juga seorang penagih dadah.

"Pun begitu apa yang saya gambarkan dalam Pekak bukan seratus peratus kerana keadaan sebenar adalah lebih teruk," ujarnya.

Sementara itu, Amerul sudah bersedia dengan kritikan penonton terhadap lakonannya yang disifatkan sebagai kontroversi namun menjelaskan apa digambarkan adalah realiti masyarakat sebenar.

Tuturnya lagi, dia bersetuju berlakon dalam filem itu kerana menyedari ini adalah antara cara dalam memaparkan situasi sebenar dan mendidik masyarakat terutamanya golongan belia dalam menjauhi najis dadah dan perbuatan yang mampu merosakkan akhlak.

"Saya sedar akan ada impak daripada watak Azman itu nanti tetapi inilah realitinya yang berlaku dalam masyarakat kita.

"Sebagai pelakon saya menjayakan watak diberikan dan dari situ diharap penonton dapat berfikir kembali realiti sebenar dan bagaimana kita hendak menangani situasi tersebut.

"Ia bukan sekadar filem untuk hiburan tetapi ada mesej disebaliknya kerana golongan muda adalah pewaris negara dan apa yang digambarkan dalam Pekak sebenarnya sedang perlahan-lahan memakan masyarakat," jelasnya.

Pekak mengisahkan tentang Uda (Zahiril Adzim) yang cacat pendengaran dan demi mencapai cita-cita untuk kembali mendengar dia akhirnya terjerumus dalam aktiviti penjualan dadah bagi menampung pembiayaan pembedahan.

Takdir telah menemukan Uda dengan Dara (Sharifah Amani), seorang pelajar sekolah bermasalah yang ingin melarikan diri daripada bapanya yang terlalu mengongkong.

Hubungan yang luar biasa ini mula menerbitkan bibit-bibit cinta di antara mereka, namun mereka terpaksa menghadapi cabaran dunia yang penuh dengan keganasan, seks, dan dadah.
Powered by Blogger.