F Kanak-kanak dijangkiti JE meninggal dunia | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Kanak-kanak dijangkiti JE meninggal dunia

Seorang kanak-kanak lelaki yang berusia enam tahun yang sah dijangkiti virus Japanese Encephalitis (JE) akhirnya menghembuskan nafas terakhir jam 8.02 pagi di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah, hari ini.

Mangsa, Mohammad Azfar Mohd Shah sebelum ini telah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban pada 20 Mei kerana kondisinya kritikal selepas berpindah dari HTAN pada 18 Mei lalu.

Menurut bapa saudaranya Abd Wahab Alias 53, arwah telah dibawa ke HTAN pada 21 Julai kerana beransur pulih dan menunjukkan perkembangan positif namun masih menggunakan bantuan alat pernafasan.

“Di HTAN, arwah ditempatkan di wad kanak-kanak dan dilihat semakin baik meskipun masih dalam pemantauan doktor.

“Arwah memang rapat dengan saya dan bila doktor maklumkan dia boleh dibawa pulang ke hospital di sini, pastinya semua ahli keluarga gembira.

“Saya juga dimaklumkan oleh pegawai perubatan HTAN membenarkan arwah pulang ke rumahnya di Kampung Dioh Tengah pada hari ini tetapi memandangkan dia demam sejak dua hari lalu, hasrat itu terpaksa dilupakan.

“Memang segala keperluan untuk arwah seperti tempat tidur dan alat bantuan pernafasan telah disediakan.

“Namun hasrat kami tidak kesampaian apabila ALLAH SWT telah menjemputnya lebih awal,” katanya ditemui di sini.

Dalam pada itu, Sinar Harian cuba untuk menemubual ahli keluarga, namun mereka enggan ditemui kerana masih bersedih atas kehilangan anak bongsu dari lima beradik itu.

Anak kepada pasangan, Mohd Shah Mahat, 49, dan isterinya, Ruslita Alias, 49, itu, telah selamat dikebumikan selepas solat Zohor di tanah perkuburan Islam kampung Dioh Tengah di sini.
Powered by Blogger.