F ‘Kami tak tidur malam’ | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

‘Kami tak tidur malam’

Sudah tiga malam pasangan suami isteri yang tinggal di Kampung Paya Garuk, di sini, tidak dapat tidur lena selepas halaman pondok dusun tempat mereka menginap setiap malam dikunjungi sekumpulan gajah liar.

Difahamkan kumpulan gajah liar terbabit hanya berada kira-kira 30 meter sahaja dari pondok mereka.

Mat Rashid Mat Dahari, 65, berkata, dia dan isteri, Rohani Daud, 53, baharu pulang dari bandar Jerantut sekitar jam 10.30 malam, Isnin lalu.

Ketika itu, dia berada di bawah pokok, meninjau kebun duriannya.

“Ketika itu saya tak dengar bunyi apa-apa sebab saya ada masalah pendengaran. Isteri saya yang dengar.

“Isteri saya panggil dan kami terus balik ke rumah yang terletak kira-kira 50 meter dari jarak pondok dusun. Bila sampai rumah, baru saya dengar ada bunyi gajah,” katanya.

Menurutnya, mereka turut bertindak memanggil jiran sekeliling kerana bimbang kumpulan gajah terbabit akan datang ke kawasan rumah mereka.

“Kami memang tak dapat tidur malam itu. Badan pun terketar-ketar. Saya dengar bunyi gajah itu sampai pukul 7 pagi keesokannya,” katanya.

Rohani pula berkata, pada malam kejadian, pada asalnya dia menyangka bunyi bising dari hutan berdekatan dusunnya itu adalah bunyi babi.

“Lepas siap makan semua di rumah, saya pun naik ke sini (pondok) untuk tidur sementara suami pergi tengok keadaan sekeliling kebun.

“Lama kelamaan bunyi makin kuat seperti bunyi orang menebas, tapi takkanlah orang menebas tengah-tengah malamkan? Jadi saya cepat-cepat panggil suami naik ke atas pondok,” katanya.

Berasa tidak sedap hati dengan bunyi yang semakin kuat, Rohani mula merasakan ia adalah bunyi sekumpulan gajah lalu terus mengajak suaminya ke rumahnya.

“Suami asyik tanya saya dengar bunyi apa tetapi ketika itu saya terlalu takut. Lama kelamaan barulah kami dapat pastikan bunyi itu datang dari sekumpulan gajah,” katanya.

Rohani berkata, sejak musim durian bermula, dia dan Mat Rashid akan tidur di pondok berkenaan sementara menunggu durian gugur, namun kini hasrat terbabit terpaksa dibatalkan walaupun jarak rumah dengan kawasan gajah terbabit juga hanya sekitar 100 meter sahaja.

Mereka berharap pihak berwajib mengambil tindakan dengan memindahkan gajah terbabit ke kawasan yang lebih jauh dari tempat tinggal mereka.
Powered by Blogger.