F Juruhebah Dakwa Telegram Diceroboh | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Juruhebah Dakwa Telegram Diceroboh

Berang akaun laman sosial Telegram miliknya diceroboh, seorang juruhebah Langkawi FM membuat laporan polis semalam apabila mendakwa individu tidak dikenali terbabit turut meminta sejumlah wang daripada kenalannya.

Penceroboh yang menggunakan akaun laman sosial juruhebah itu Shuhaini Daud, 35, didakwa menghantar mesej secara rambang kepada kenalannya, bagaimanapun mangsa menafikan perkara itu dengan mendakwa akaun telegramnya diceroboh.

Shuhaini berkata, dia menyedari akaun Telegram miliknya diceroboh pada jam 10 pagi semalam selepas dihubungi seorang rakannya, Sufina Halim yang meminta pengesahan tujuannya meminta memasukkan wang ke satu akaun bank.

Menurutnya, akibat itu dia terkejut kerana tidak membuat apa-apa permintaan seperti didakwa lalu membuka aplikasi Telegramnya dan mendapati ramai kenalan sedang berusaha menghubungi menerusi status typing yang tertera pada skrin telefon bimbit.

"Saya berusaha menghubungi rakan-rakan menerusi aplikasi telegram untuk memaklumkan supaya jangan melayan permintaan itu tetapi tidak berjaya dan mengesyaki akaun telegram saya diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Sehingga kini sekurang-kurangnya empat rakan dan saudara terdekat mengaku memasukkan wang masing-masing berjumlah antara RM140 hingga RM150 ke akaun bank seperti yang diminta penceroboh," jelasnya.

Katanya, penceroboh terbabit meminta rakan-rakannya yang dihubungi menerusi telegram memasukkan wang berjumlah RM150 ke akaun bank atas nama sebuah syarikat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Deputi Superintendan Mahani Mohamed, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian, berkata pihaknya masih menjalankan siasatan.
Powered by Blogger.