F Janji Pandai Jaga Diri | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Janji Pandai Jaga Diri

Pelakon Falisha Crossley sentiasa mengingatkan dirinya agar berpegang pada janji yang dibuat terhadap keluarganya iaitu pandai menjaga diri dan tingkah laku serta tidak mencemarkan nama keluarga sepanjang penglibatannya dalam dunia seni.

Menurut Falisha atau nama sebenarnya Nur Falisha Crossley Faisal, 31, meskipun menyedari namanya masih belum dikenali ramai namun populariti bukan menjadi keutamaan sebaliknya dia mahu mempertingkatkan mutu lakonan dari masa ke semasa sekaligus membuktikan bakatnya.

"Alhamdulillah, setakat ini belum ada isu atau kontroversi mengaitkan diri saya lagipun sewaktu mahu menceburi bidang lakonan, saya sudah berjanji pada keluarga saya akan menjaga nama baik mereka dan menjauhkan diri dari apa-apa isu atau kontroversi. Tambahan, usia saya sudah matang dan boleh berfikir baik buruk dan akibatnya sebelum melakukan sesuatu perkara.

"Saya sedar, nama saya masih belum dikenali ramai kalau nak dibandingkan dengan kalangan beberapa pelakon baharu sekarang. Tapi tidak mengapa kerana bagi saya, saya tidak mengejar populariti. Apa yang penting, saya mencari kepuasan dalam apa yang saya lakukan dan mahu mempertingkatkan mutu lakonan saya. Biarlah orang lebih mengenali saya menerusi hasil lakonan baik dalam drama atau filem," katanya yang pernah bekerja dalam bidang perakaunan.

Falisha ditemui pada majlis dan sidang media Anugerah Festival Filem Malaysia 28 (FFM28) bertempat Hotel Park Royal, kelmarin. Pada FFM kali ini, namanya tersenarai dalam calon Top 5 kategori Pelakon Baharu Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Mat Moto-Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit.

Dalam pada itu, Falisha bersyukur kerana rezekinya kini kembali mencurah-curah apabila tidak putus-putus menerima tawaran berlakon semenjak selepas Syawal yang lalu.

Katanya, selepas membuat keputusan tampil dengan imej berhijab, banyak produksi yang menarik semula tawaran berlakon kerana watak yang ditawarkan kepadanya ketika itu adalah watak tidak bertudung.

"Sekarang ini pun rezeki dan tawaran sudah banyak semula sejak selepas Aidilfitri lalu. Sebelum ini, banyak 'job' saya kena tarik kerana tawaran yang diberi pada saya ialah untuk watak tidak bertudung," katanya yang baru saja selesai penggambaran Mek Minyak untuk siaran RTM dan Kelab Komedi untuk saluran TV3.

Terkini dia sibuk di set penggambaran drama bersiri berjudul Anak bertuah dan telemovie berjudul Syurga Kecil Kami.

Mengenai pemilihan watak seiring dengan imejnya, kata Falisha, walaupun bertudung dia bersedia sekiranya diberikan peranan memengang watak antagonis. Begitupun dia tetap menjaga batas-batas ketika berlakon.

"Macam sekarang, walaupun sudah bertudung tapi saya terima karakter antagonis. Bagi saya bawa watak antagonis lebih mudah berbanding watak baik sebab iyalah, kita bertudung tapi sikap dan perangai kita jahat, rasanya penonton akan lagi mudah menyampah dan kalau itu terjadi, beerti kita berjaya bawakan watak itu," tuturnya.

Berbaloi Jadi Budak Punk

Sementara itu, mengulas pula mengenai pencalonannya dalam Top 5 FFM28, sambil memanjatkan rasa syukur, dia sama sekali tidak menyangka namanya layak dalam senarai calon akhir lebih-lebih lagi Mat Moto merupakan filem sulungnya. Melakonkan watak sebagai budak Punk, katanya, usaha dan susah payah mahu memotreykan watak itu berbaloi.

Biarpun saingan sengit namun percalonan tersebut dijadikan pemakin dan semangat untuknya berusaha dan memberikan hasil lakonan yang lebih baik pada masa akan datang.

"Syukur dan tak sangka nama saya tersenarai dalam Top5. Berbaloi kepayahan ketika jalani penggambaran filem itu kerana ia dilakukan ketika bulan puasa, pada tahun lalu. Selain itu, saya terpaksa potong rambut dan untuk mendapatkan mood dan menjiwai watak, saya bergaul dengan budak-budak Punk selama tiga minggu.

"Mat Moto, filem pertama saya dan memang saya tiada asas lakonan tapi sepanjang penggambaran, pengarah saya iaitu Pekin Ibrahim banyak mengajar saya teknik-teknik dalam lakonan. Banyak ilmu lakonan yang saya belajar. Pencalonan ini saya jadikan semangat untuk saya berusaha lebih gigih lagi," katanya yang juga menyatakan tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk meraih kemenangan.
Powered by Blogger.