F Ippo Hafiz tampil dengan album sulung | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Ippo Hafiz tampil dengan album sulung

SELEPAS tujuh tahun menanti, Ippo Hafiz akhirnya berjaya menghasilkan album sendiri.

Penyanyi yang nama sebenarnya Muhammad Hafiz Yaziz menganggap ia sebagai satu kejayaan peribadi sementalah selepas  menghasilkan 11 lagu.

“Pejam celik, pejam celik, secara tidak sedar, saya sudah membuat 11  lagu dalam tempoh dua tahun.

“Ada peminat bertanya, bila pula saya akan hasilkan album sendiri.

“Jadi, ini hadiah saya kepada peminat setia,” katanya semasa sidang media pelancaran album di Puchong, baru-baru ini.

Album bertajuk Ippo Hafiz itu memuatkan 11  lagu termasuk lagu Rahsia yang dicipta oleh AG Coco dan Azma Aizal Yusoof.

Selain penyanyi berusia 28 tahun itu, album tersebut melibatkan komposer hebat, AG Coco dan Rudy Nastia dan ditaja sepenuhnya syarikat telekomunikasi redONE Network Sdn Bhd (redONE).

“Saya sangat berbesar hati kerana sudi menaja saya sepenuhnya dalam menghasilkan album ini. Saya ucapkan  terima kasih kepada redONE atas bantuan mereka.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada media kerana membuat banyak liputan mengenai karier saya. Tanpa mereka, mungkin masyarakat tidak akan mengenali saya,” katanya.

Bercerita sejarah kerjasamanya dengan redONE katanya, syarikat itu mula menajanya semasa pembuatan video klip Rahsia.

Selepas penajaan itu, syarikat terus membuat penajaan kepadanya untuk beberapa video klip lagi.

Gelaran OST

Jelas Ippo, kebanyakan lagu di dalam album tersebut adalah lagu runut bunyi (OST) beberapa drama popular sekali gus meletakkan ia sebagai satu kelebihan.

“Saya masih ingat lagi, saya pernah buat persembahan di sebuah tempat. Ada peminat menegur saya dan terkejut yang saya adalah penyanyi lagu itu.

“Saya cuma tergelak namun bersyukur kerana ada orang yang tahu lagu saya,” katanya sambil tersenyum.

Bahkan, Ippo mengaku tidak kisah dengan gelaran OST yang diberikan masyarakat terhadapnya kerana berpendapat ia merupakan ‘kekuatannya’ menghasilkan lebih banyak karya.

“Insya-ALLAH, saya cuba menghasilkan lebih banyak lagu berkualiti pada masa yang akan datang. Saya berharap album ini mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat,” katanya.

Ditanya mengenai strategi pemasaran  penjualan album sulungnya, Ippo yakin dengan strategi syarikat yang bersamanya untuk penjualan album berkenaan.

“Saya faham kini, agak susah untuk artis ‘jual’ album. Tetapi, saya yakin dengan pasukan ini,” katanya.

Jelasnya, album tersebut sudah boleh dibeli dan termasuk melalui talian internet.

Selain itu, Ippo merancang melakukan siri jelajah ke seluruh negara untuk menjual album tersebut.
Powered by Blogger.