F Interchange ke Toronto | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Interchange ke Toronto

Selepas menerima sambutan hebat ketika tayangan perdana dunia di Festival Filem Locarno, Switzerland pada 5 Ogos lalu, filem terbaharu arahan Dain Iskandar Said, Interchange, diberi penghormatan untuk menyerikan skrin Festival Filem Toronto, bulan depan.

Ia adalah penghormatan kedua diberikan kepada pengarah itu selepas filem pertama arahannya, Bunohan, turut ditayangkan pada festival filem yang sama pada tahun 2011. Ketika itu, Bunohan dipilih untuk tayangan perdana dunia bagi kategori Discovery.

Filem seram supernatural yang menggabungkan pelakon hebat tempatan dan Indonesia seperti Shaheizy Sam, Nicholas Saputra, Prisia Nasution, Iedil Putra, Nadiya Nissa, Alvin Wong serta Chew Kin Wah dipilih untuk tayangan bagi kategori Vanguard, meliputi produksi seni dan bergenre cemas dengan paparan cerita mengejutkan.

Kategori itu juga meliputi produksi filem berunsur gelap dengan ciri transgresif dan berbahaya. Dianjurkan sejak tahun 1976, Filem Festival Toronto dianggap antara festival filem paling berprestij di dunia.

Pada tahun ini, antara filem yang bakal ditayangkan ialah Snowden arahan Oliver Stone, The Salesman (Asghar Farhadi), Paterson (Jim Jarmusch) dan Nocturnal Animals (Tom Ford).

Mengulas mengenai pemilihan Interchange untuk tayangan sempena Festival Filem Toronto, Dain Said berkata beliau bersyukur kerana filem tempatan semakin diterima dunia.

"Berita gembira dari Toronto itu diterima ketika rombongan Interchange dalam perjalanan pulang dari Locarno.

Interchange sebelum ini ditayangkan di lapangan terbuka Piazza Grande dan kami diberi penghormatan oleh Pengarah Artistik Festival Filem Locarno, Carlo Chatrian untuk memberi ucapan di hadapan ribuan penonton yang hadir," katanya.

Interchange bakal ditayangkan di pawagam tempatan bermula 1 Disember ini.
Powered by Blogger.