F FFM28 : Karyawan Sokong Keputusan Pisahkan 2 Kategori | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

FFM28 : Karyawan Sokong Keputusan Pisahkan 2 Kategori

Persatuan Karyawan Malaysia, menyokong penuh cadangan PFM (Persatuan Penerbit Filem Malaysia) untuk membahagikan anugerah kepada dua kategori iaitu kategori Bahasa Malaysia dan Bukan Bahasa Malaysia didalam Festival Filem Malaysia ke-28, yang akan berlangsung pada 3 September tahun ini.



Menurut Presidennya, Datuk Freddie Fernandez, FFM secara tradisinya merupakan sebuah festival yang memberi pengiktirafan kepada filem-filem yang menggunapakai medium Bahasa Melayu dan diantara objektif asalnya ialah bertujuan untuk memberi galakan kepada penggiat tempatan yang menerbitkan filem dalam Bahasa Malaysia untuk terus menghasilkan filem yang bermutu, yang bakal mengharum serta membawa wajah negara jika ia dipertandingkan dalam festival-festival filem antarabangsa.

Meneruskan FFM dengan mewartakan Anugerah Filem Terbaik kepada filem berbahasa Melayu merupakan satu langkah yang releven kerana ia akan terus memberi motivasi kepada penerbit filem tempatan untuk menghasilkan filem yang lebih berkualiti dengan menggunapakai bahasa Ibunda.

Ianya juga sebagai langkah lojik untuk terus memartabatkan penggunaan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan dan juga sebagai penerus legasi semangat filem Melayu yang telah tertulis sejak era Jalan Ampas serta perlu dipelihara dan diteruskan dengan pembikinan filem Bahasa Malaysia oleh generasi masakini.

Namun beberapa tahun kebelakangan ini ada filem dalam bahasa lain turut diterbitkan dengan kualiti yang tinggi serta mencapai kutipan yang membanggakan yang telah diterbitkan oleh pembikin tempatan.

Dengan demikian Karyawan amat bersetuju dengan cadangan PFM untuk membahagi dan menambah Anugerah Filem Terbaik kepada dua kategori iaitu Filem Terbaik Dalam Bahasa Malaysia dan Filem Terbaik Bukan Bahasa Malaysia sebagai solusi terhadap isu yang telah timbul.

Dengan pembahagian ini ia bukan sahaja akan memberi pengiktirafan kepada filem-filem tempatan bukan Bahasa Malaysia malah akan menambahkan kepada jumlah filem yang akan memenangi anugerah, selain menentukan kesinambungan kepada legasi filem Melayu yang telah di mulakan lebih 60 tahun yang lalu.

Isu yang telah timbul ini boleh diatasi dengan mencari jalan tengah sebegini yang bakal memuaskan hati semua pihak dan tidak perlu dipolitikkan lagi.
Powered by Blogger.