F Debaran Ramona Jalan Junid Teater | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Debaran Ramona Jalan Junid Teater

SELEPAS lebih dua bulan menjalani latihan, seluruh kru Team Armada Jiwa Anak Muar di bawah produksi Bayangan Seni kini berdebar menantikan prebiu serta tayangan teater Ramona Jalan Junid yang mengangkat kisah menarik di sebalik jalan terkenal di daerah Muar, Johor itu.

Pengarah teater, Mohd Elyia Hauzar menyatakan rasa gembira kerana semua persiapan keseluruhan yang dilakukan sejak awal hampir selesai dan hanya menanti tarikh ia akan dipentaskan.

Menurutnya, teater tersebut yang merupakan karya asal Azlan Norani dan diadaptasi daripada filem pendek berjudul Ramona ini menyediakan jalan cerita yang menarik dan sudah pasti memaparkan kisah di Jalan Junid sendiri.

“Jalan Junid sememangnya terkenal di kalangan penduduk dan juga menarik perhatian pelancong yang mahu melihat kehidupan tradisi di kawasan bandar Diraja Johor.

“Jadi, besar harapan agar usaha mengangkat cerita berlatar belakangkan jalan popular di daerah Muar ini dapat memberi impak positif seterusnya memikat hati penonton,” katanya.

Ujarnya lagi, persembahan bersempena Pentas Teater Karya Johor 2016 ini juga merupakan acara penting bagi menyemarakkan lagi penghasilan dan persembahan teater di negeri Johor.

“Ia melibatkan seni teater di negeri Johor dan kami merupakan salah sebuah team yang mendokong usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Johor melalui Majlis Kebudayaan Negeri Johor.

“Ia membuka peluang kepada Badan Bukan Kerajaan Kesenian Teater di seluruh daerah negeri untuk mementaskan karya masing-masing berdasarkan genre yang dipilih,” katanya.

Sementara itu, pemegang watak utama sebagai Ramona, Nuraina Shyabanu Mohd Hamdan turut melahirkan harapan agar pementasan yang bakal diadakan berjaya dan mendapat sambutan ramai.

“Selaku generasi Y, saya bangga kerana dapat melibatkan diri secara aktif dalam bidang seni teater di mana usaha yang dilakukan dapat mencungkil bakat-bakat baru di persada teater khususnya di negeri Johor.

“Saya juga berharap agar orang ramai turut hadir menonton Teater Ramona Jalan Junid sebagai tanda sokongan dan menikmati jalan cerita dan persembahan yang dipertontonkan,” katanya.

Teater Ramona Jalan Junid mengisahkan tentang seorang lelaki tua yang berumur lingkungan 70-an benama Awang. Beliau mempunyai sebuah kedai kasut di Jalan Junid dan sering bersedih kerana dihantui kisah silamnya bersama seorang perempuan bernama Ramona.

Pada suatu hari, Awang didatangi seorang kanak-kanak yang rapat dengannya bernama Amsyar. Kebetulan pada hari itu ialah hari lahir Amsyar jadi dia telah membuat satu hajat dengan harapan Awang tidak akan bersedih lagi.

Tanpa diduga, hajat kanak-kanak itu telah menyebabkan Awang kembali ke tahun 1962 dan membolehkan dia untuk memperbetulkan kesilapan dirinya yang lampau. Pada ketika itu Awang yang masih muda bekerja sebagai penggilap kasut manakala Ramona pula ialah seorang penyanyi kabaret di Kelab Malam Ghelora yang sangat terkenal di Jalan Junid.

Awang cuba membetulkan dirinya yang lampau telah menimbulkan konflik  di antara Jamil iaitu tunang Ramona dan termasuklah Ramona yang menyangka bahawa Awang si penggilap kasut itu telah jatuh cinta dengannya walhal Awang sebenarnya ialah abang kandung Ramona yang telah terpisah ketika perang jepun 1942.

Adakah sejarah kehidupan Awang akan berubah? Adakah Awang dapat menyelesaikan kekusutan tersebut? Adakah Ramona akan mengingati Awang semula? Semua persoalan ini bakal terungkai dalam Teater Ramona Jalan Junid.
Powered by Blogger.