F Da’i Fuad dalami sudut psikologi | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Da’i Fuad dalami sudut psikologi

AHMAD Fuad Mohamad Mokhtar, 21, bukanlah individu yang dikenali sebelum menyertai program pencari dakwah, Da’i Pendakwah Milenia pada tahun lalu.

Namun, setelah menjadi naib johan program tersebut di belakang Da’i Hamidah, Ahmad Fuad atau lebih Da’i Fuad semakin dikenali di kalangan masyarakat.

Kehebatannya menyampaikan ceramah yang penuh dengan maklumat antara menjadi faktor dia dipilih sebagai naib johan program tersebut oleh pihak juri.

Walaupun bergelar naib johan, Fuad tidak mendabik dada dengan pencapaian yang diperolehinya. Sebaliknya, dia sentiasa dahagakan ilmu untuk dikongsikan kepada masyarakat.

Menceritakan mengenai perkembangan terkini, Fuad kini sedang sibuk menulis sebuah buku yang bakal diterbitkan dalam tempoh beberapa bulan lagi. Dia mendapat tawaran menulis buku pada hujung tahun lalu.

“Saya juga mempunyai minat untuk menulis buku. Apabila mendapat tawaran, saya terus menerima tawaran mereka,” katanya dalam satu temu bual bersama Zass, baru-baru ini.

Menurutnya, buku tulisannya adalah berkisar motivasi Islamik mengenai tekanan psikologi yang dihadapi oleh manusia dan dia sangat meminati bidang psikologi.

Apa yang mendorongnya untuk menulis buku ini adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat, khususnya masyarakat Islam supaya menangani masalah psikologi mengikut cara Islam.

“Saya tekankan masalah-masalah yang sering kali kita tidak sedar itu adalah sebenarnya masalah sebenar bagi kita. Contohnya, apa yang membuat seseorang itu gelisah walaupun mempunyai segalanya dalam kehidupan,” katanya.

Jelas Fuad, terdapat lima aspek yang membolehkan seseorang manusia boleh mengecap kejayaan dalam perniagaan serta kehidupannya.

Menurutnya, aspek yang pertama ialah setiap manusia memerlukan keperluan asas seperti makanan kerana makanan yang membolehkan seseorang itu hidup.

“Meskipun rumah adalah keperluan asas, namun ia jatuh jadi kedua iaitu mendapatkan sesuatu benda untuk kehidupan mereka. Ini kerana, tanpa rumah sekalipun, manusia masih boleh hidup.

“Aspek ketiga adalah kasih sayang dan setiap manusia menagih kasih sayang bagi meneruskan kehidupan mereka. Kebiasaannya, orang yang tidak berkasih atau dikasihi jarang berjaya dalam kehidupan mereka,” jelasnya.

Aspek yang seterusnya adalah pencapaian yang sudah diperoleh. Setelah mengecap ketiga-tiga aspek sebelum ini, Fuad menjelaskan, manusia akan melihat sama ada apa yang mereka lakukan ini telah mencapai tahap yang telah memuaskan hati mereka atau sebaliknya.

"Aspek yang terakhir adalah penghargaan. Ini kerana, setiap individu akan melihat sama ada apa yang mereka telah lakukan ini telah mencapai tahap yang telah memuaskan hati mereka atau sebaliknya.

“Saya akan kupas lebih terperinci mengenai perkara tersebut dalam nukilan saya. Saya masih membuat pelbagai kajian mengenai psikologi manusia, baik daripada kajian barat atau Islam.

“Insya-ALLAH, buku tersebut akan memberi manfaat kepada mereka yang membaca,” katanya.

Tumpu kepada pelajaran

Selain menulis, Fuad kini sedang sibuk mendapat undangan untuk memberikan ceramah kepada masyarakat, baik di dalam dan luar negara. Tambahnya, dia sudah melakukan ceramah di seluruh Malaysia selepas berakhirnya program Da’i.

“Saya sudah memberikan ceramah di kira-kira 70 institusi pengajian tinggi sejak tahun lalu. Saya anggap, ini semua rezeki yang ALLAH SWT kurniakan kepada saya,” katanya.

Walaupun sibuk dengan undangan ceramah, pelajar semester kelima jurusan Dakwah dan Pengurusan dalam peringkat Ijazah Sarjana Muda Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu tidak pernah mengabaikan pengajiannya.

Menurutnya, dia tidak akan mengambil apa-apa jemputan ceramah, dua minggu sebelum berlangsungnya peperiksaan dan fokus menelaah dalam tempoh berkenaan.

“Saya sangat bersyukur kerana mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan semester baru-baru ini. Sebelum saya menyertai program Da’i, keputusan saya tidaklah sebaik ini.

“Jika dibandingkan dahulu dan kini, saya lebih sibuk sekarang. Saya tidak mahu mendabik dada dan menganggap ini adalah rezeki saya daripada ALLAH SWT,” katanya.

Katanya, ia mungkin kerana hobinya yang suka membaca apa-apa sahaja jenis bahan bacaan yang mempunyai maklumat dan ia sekaligus boleh menambahkan ilmu pengetahuannya.

Sementara itu, untuk perancangan jangka panjang kariernya, Fuad merancang untuk membuka tadika.

“Saya sangat sukakan kanak-kanak dan mahu meluahkan rasa kasih sayang kepada mereka. Jadi, saya nak buka tadika dan ajar kanak-kanak mengenai agama Islam,” katanya.
Powered by Blogger.