F Bukan Diboikot Tapi Memang Tak Berkawan - Kaka Azraff | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Bukan Diboikot Tapi Memang Tak Berkawan - Kaka Azraff

Penyanyi Kaka Azraff menyangkal dakwaan diboikot segelintir rakan artis gara-gara sikapnya yang kurang bergaul dengan teman-teman dalam industri seni.

Sebaliknya, Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff berkata, dia lebih selesa untuk tidak berkawan rapat dengan golongan selebriti kerana mahu memberi fokus pada kerjayanya.

"Bukan saya langsung tidak berkawan dengan rakan artis lain tetapi tidak rapat dan hanya bertemu ketika ada persembahan atau acara hiburan sahaja.

"Kawan rapat saya ialah Juliana Evans, itu pun kerana kami sudah saling kenal sejak sebelum saya bergelar penyanyi lagi.

"Tidak timbul isu kena boikot atau pun 'tidak sebulu' setakat ini saya tiada masalah dengan sesiapa. Sebenarnya saya lebih selesa dengan cara saya dan mahu fokus pada kerja. Lagipun saya rasa ada juga kalangan artis lain yang mengambil pendekatan sama seperti saya," katanya

Kaka ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Terima Kasih, bertempat di Redbox The Gardens Mall, kelmarin.

Dalam pada itu, anak saudara kepada ratu Rock negara, Ella, ini juga berkata, dia tidak berkecil hati sekiranya ada pihak yang kurang senang atau melemparkan persepsi negatif dengan sikapnya itu sebaliknya dia mengambil positif perkara tersebut.

"Saya tak kisah akau ada yang anggap saya sombong tapi hakikatnya saya bukan begitu. Kalau ada pihak yang tidak puas hati dengan saya pun, saya anggap perkara itu sebagai positif," tuturnya.

Terima Kasih

Sementara berkongsi pula mengenai Terima Kasih, penyanyi berusia 27 tahun itu mengakui cukup teruja apabila berpeluang mendendang lagu ciptaan sepenuhnya oleh Muhammad Alif Abdullah atau Alif Sleeq itu.

Jelasnya, mengikut perancangan asal, dia mahu melancarkan lagu tersebut sekitar tahun lalu. Tetapi dek kerana kesibukan dengan undangan nyanyian selain terpilih sebagai finalis Anugerah Juara Lagu 30 (AJL30) membuatkan dia menangguhkan perancangan tampil dengan lagu baharu.

Single tersebut disifatkan cukup istimewa dan dekat dihatinya kerana ia sebagai luahan penghargaan kepada keluarga, rakan, peminat dan syarikat pengurusannya yang banyak membantu menaikkan kariernya pada tahap sekarang.

"Terima Kasih mungkin ungkapan yang ringkas tetapi menerusi lagu ini Alif berjaya menzahirkan perasaan saya dalam lirik cukup mendalam.

"Ia sebuah lagu yang santai melodinya tetapi dengan lirik cukup mendalam," katanya.

Mengenai pembikinan muzik videonya, Kaka menggunakan khidmat pengarah terkenal, Ghaz Abu Bakar dengan menampilkan konsep moden sesuai dengan tema lagu berkenaan.


Pembikinan video tersebut mengambil masa hampir 18 jam dan penggambaran dilakukan di studio Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada 28 Jun lalu.

Perkembangan lain, Kaka merancang untuk melancarkan album sulungnya pada awal tahun hadapan dan ia bakal memuatkan enam buah lagu.

Powered by Blogger.