F Bekas bakal perdana menteri | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Bekas bakal perdana menteri

TIBA-tiba radio dan TV RTM memberitakan Datuk Musa Hitam (belum Tun ketika itu) sudah berhenti daripada menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM). Ia berlaku pada suatu hari dalam bulan Mac 1986. Datuk Najib Razak bertugas sebagai Menteri Besar Pahang. Bagi saya, pemergian Musa sudah lama berdenting. Dari jauh dan dekat, saya terdengar soksek bahawa beliau sudah tidak sebulu dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Akronim AIDS, siapa mereka dan pihak mana yang mencetuskannya sudah lama terdengar. AIDS dikatakan terdiri daripada Anwar Ibrahim, Daim dan Sanusi, orang rapat Mahathir. Mereka dipercayai didengari Mahathir dalam banyak perkara yang patut didengarinya. Ini bukan luar biasa. Tidak ada pemimpin dunia yang tidak bergantung kepada orang rapat dalam mengatur langkah hari demi hari.

Pemberhentian Musa sebagai TPM juga dikaitkan dengan Tengku Razaleigh Hamzah (TR), penentangnya dalam tahun 1981 dan 1984 untuk merebut jawatan Timbalan Presiden Umno.

Sebagai seorang aktivis politik dan penulisan, saya sebagai Presiden Pena (Persatuan Penulis Nasional) memilih pendirian menyokong Musa. Pendirian ini diterima baik secara umumnya oleh pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Pena yang terdiri daripada mereka yang bekerja dengan media dan penulis-penulis bebas. Kata seorang pembantu di pejabat TR selaku Menteri Kewangan: “Kita tak mahu melayan penulis dan orang surat khabar. Mereka anti kita.” Dalam kancah politik dan penulisan, kata-kata begitu hanyalah asam garam yang boleh dikulum sebagai penyedap selera.

Kini, 30 tahun kemudian, Tun Musa meluahkan apa yang ada dalam dadanya melalui buku Frankly Speaking atau Demi Berterus Terang. Memandangkan ketika terbaik dan terburuk dalam kerjaya politiknya berlaku ketika Tun Mahathir berkuasa sebagai perdana menteri, maka tidaklah mengejutkan buku itu banyak memberikan ruang kepada perihal bekas bosnya itu. Dalam begitu banyak pemerian Tun Musa, satu kalimat yang sangat lantang ialah ‘abject failure’ atau ‘kekandasan hodoh’ yang dialami Tun Mahathir dalam usaha melahirkan lapisan pemimpin untuk menggantinya sebagai perdana menteri. Jelas sekali kekandasan yang pertama ialah nyahnya Tun Musa sendiri sebagai pengganti.

Tun Musa amat obses dengan tragedi Memali - November 1985. Empat belas orang Melayu yang dianggap mirip kepada parti Pas telah terkorban di tangan polis. Oleh kerana Tun Musa Menteri Dalam Negeri, mudahlah beliau dianggap bertanggungjawab. Menafikan tanggungjawab itu dengan mengatakan pihak lain yang mengarahkannya hanya mengakui diri tidak bijak bertindak. Work smart, kata bestari Inggeris.

Di AS, Tun Musa pasti maklum bahawa naib presiden dianggap sebagai jawatan mustahil. Dalam mesyuarat Kabinet, kadang-kadang beliau tidak diundangi. Banyak rahsia kerajaan tidak diketahuinya. Inilah nasib yang dialami Naib Presiden Truman. Apabila Presiden Franklin Roosevel meninggal pada tahun 1945, Truman tidak tahu AS sudah memiliki bom atom. Beliau terpaksa meneliti maklumat daripada laporan dan taklimat dari awal hingga akhir sebelum membuat keputusan menggugurkan dua bom itu di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun.

Orang yang paling lama menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia ialah Allahyarham Tun Razak. Beliau berada di jawatan itu sejak merdeka 1957 hingga akhir 1970, selama 13 tahun. Sebelum itu beliau ialah Timbalan Ketua Menteri di bawah Tunku Abdul Rahman selepas pilihan raya untuk berkerajaan sendiri pada tahun 1955. Beliau ialah potret seorang yang setia kepada bosnya.

Menjelang pilihan raya pertama 1959, Tunku bercuti lama untuk berkempen di seluruh negara. Datuk Razak (belum gelaran Tun) dilantik Pemangku Perdana Menteri. Dengan kuasa penuh di tangannya, orang yang rendah hemah boleh mengekalkan terus kedudukannya, tetapi bukan Razak. Beliau sabar menunggu dari usia waktu itu, 37 tahun, sehingga usianya 48 tahun. Ibarat ‘tarik rambut dalam tepung; tepung tidak berkecai, rambut tidak putus’.

Kata Allahyarham Tan Sri Abdullah Ahmad, bekas Setiausaha Politik Tun Razak, tentang Tun Musa dan Tengku Razaleigh: “Akibat percaturan mereka, angkatan saya ternafi peluang untuk melonjak lebih tinggi dalam politik.” Kekosongan itu dipenuhi Anwar Ibrahim. Rentetan dari situlah yang memungkinkan timbulnya Pak Lah dan DS Najib. Yang membezakan mereka dengan Tun Musa ialah mereka menjadi perdana menteri akhirnya.

Tun Musa ibarat dialog Shakespeare dalam drama Romeo and Juliet: So near and yet so far (Sungguh dekat namun sungguh jauh).  Juliet di balkoni tingkat pertama tetapi Romeo tidak sampai ke situ.

Membaca Frankly Speaking boleh membuatkan orang berkata: Tidak mungkin Tun Musa berterus terang begitu jika beliau bukan hanya bekas bakal malahan perdana menteri.



Tan Sri Adam A Kadir
mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet
Powered by Blogger.