F Balik Sweden Tetap Kena Angkat Beg Sendiri - Maher Zain | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Balik Sweden Tetap Kena Angkat Beg Sendiri - Maher Zain

Penyanyi terkenal antarabangsa, Maher Zain, 35, menyifatkan layanan bertaraf VIP yang sering diterima setiap kali berkunjung ke satu-satu negara sebagai satu penghargaan buat dirinya.

Begitupun, kata penghibur berdarah kacukan Lebanon-Sweden ini, keistimewaan tersebut tidak sedikit pun membuatkan beliau berasa megah sebaliknya mengingatkan dirinya agar sentiasa bersikap merendah diri dan kehidupannya sama seperti orang biasa.

"Beberapa tahun ini saya banyak menjelajah ke luar negara untuk mengadakan persembahan dan konsert. Saya bersyukur kerana saya sering mendapat layanan bertaraf VIP, misalnya setiba di lapangan terbang saya disambut meriah dan ada orang angkatkan beg saya termasuklah penginapan yang sangat selesa.

"Bukan saya tidak suka sebaliknya saya anggap ia sebagai satu penghargaan dan secara tidak langsung layanan sebegitu sangat membantu saya kerana perjalanan yang jauh ditambah dengan jadual saya yang padat sangat meletihkan.

"Tetapi saya hanya merasai layanan sebegitu jika saya ke luar negara, hakikatnya apabila pulang ke Sweden, saya tetap angkat beg saya sendiri. Justeru situasi itu sebenarnya menyedarkan diri saya supaya jangan riak sebaliknya ia mengingatkan bahwa saya juga sama seperti orang biasa.

"Saya masih Maher Zain yang sama. Sebagai penyanyi, banyak lagi yang harus saya berlajar untuk menjadi seorang penghibur yang bagus. Malah saya tidak anggap diri saya popular kerana mungkin masih ramai lagi yang belum mengenali saya," katanya kepada Malaysian Digest ketika ditemui pada majlis pelancaran album ketiganya, One, bertempat di Menara Kuala Lumpur, pada Rabu.

Pada masa sama Maher atau nama sebenarnya Maher Mustafa Maher Zain, turut meluahkan rasa terharu dengan sokongan peminat negara ini yang tidak putus-putus menyokong kariernya sejak mula dia menjejakkan kaki dan mencipta populariti menerusi lagu hits InsyaAllah, kira-kira enam tahun lalu.

"Kejayaan besar saya menerusi album pertama saya dan lagu InsyaAllah bermula di Malaysia. Saya masih ingat lagi pertama kali saya datang ke sini pada tahun 2010, peminat menerima saya dengan tangan terbuka dan sepenuh hati mereka. Saya sangat berterima kasih dan menghargai kelab peminat saya di sini kerana mereka tidak jemu-jemu menyokong saya semenjak dari hari pertama lagi, " katanya yang mempunyai lebih daripada 2.9juta pengikut serata dunia di laman sosial Instagram rasminya.

Selain sambutan peminat, Maher berkata Malaysia turut meninggalkan memori manis buatnya dan isteri kerana mereka pernah mengabadikan saat bulan madu di Langkawi, Kedah.

"Walaupun dari segi cuaca agak panas tapi saya suka berkunjung ke negara ini dan tertarik dengan keindahan tempat-tempat di sini. Saya dan isteri suka Langkawi. Saya sempat bawa dia berbulan madu ketika berkunjung ke sini beberapa tahun lalu.

..

Menyentuh pula mengenai One, Maher berkata dia mengambil masa selama satu tahun setengah untuk menyiapkan album tersebut yang mana proses rakamannya dijalankan di beberapa buah negara seperti Sweden, United Kingdom, India, Turki, Mesir, Maghribi dan Afrika Selatan. Istimewanya, album ini memuatkan 15 lagu dengan pelbagai susunan muzik yang segar, bervariasi dan lebih universal.

Telah pun berada di pasaran muzik antarabangsa sejak 6 Jun lalu, judul One (Satu) dipilih bagi menggambarkan apa yang memotivasikan kita semua dalam hasil kerja kita ialah atas satu kepercayaan kepada Satu Tuhan Satu Dunia serta sebagai simbolik kepada maksud satu perpaduan dalam masyarakat Islam sejagat.

Bukan itu saja, album ini turut mengumpulkan hasil karya barisan pemuzik juga artis hebat antara kolaborasi bersama penyanyi dari Afrika Selatan, Amakhono We Sintu menerusi lagu The Power. Manakala untuk lagu Medina dan I'm Alive yang berirama Hindustan, Maher berkolaborasi bersama penyanyi terenal Pakistan Atif Aslam.

Selain itu album ini turut menampilkan artis dari Turki iaitu Mustafa Ceceli dalam lagu The Way of Love dan artis Maghribi iaitu Issam Kamal menerusi lagu berjudul Good Day.

"Saya sangat gembira dan bersyukur kerana album ketiga akhirnya dilancarkan. Ia merupakan satu penantian agak lama, walau bagaimanapun saya berharap ianya berbaloi. Banyak perkara yang berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan saya bersyukur dapat mengadakan persembahan di seluruh dunia dengan ramai orang yang hebat-hebat dan tempat-tempat yang menakjubkan. Di situlah saya mendapat inspirasi dan ilham bagi menghasilkan dalam album terbaharu ini," katanya yang muncul dengan album pertama Thank You Allah (2010) dan Forgive Me (2012).

One diterbitkan dalam tiga versi berbeza untuk pasaran dunia iaitu versi Bahasa Arab, Bahasa Turki dan Inggeris yang juga dipasarkan di Malaysia.
Powered by Blogger.