F Akan Umum Tarikh Kahwin di IG - Nazim | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Akan Umum Tarikh Kahwin di IG - Nazim

Pelakon Nazim Othman menjelaskan pendiriannya tidak mahu berkongsi lanjut mengenai berita perkahwinan yang bakal berlangsung tidak lama lagi kerana bimbang perjalanan majlis hari bahagianya itu terganggu.

Menurut Nazim atau nama sebenarnya Nushrul Alif Othman, 32, dia tidak berminat mensensasikan berita gembira tersebut kerana ia terlalu peribadi.

"Memang seseorang selebriti itu seratus peratus milik masyarakat, apabila ia berkaitan kerjaya. Tapi apabila melibatkan hal peribadi terpulang pada selebriti itu sendiri. Kalau orang lain, kalau mereka hendak bercerita sampai ke dalam kelambu pun, itu hak mereka.

"Tapi bagi saya dan Bella, kami ada cara kami. Berahsia bukan bermakna takut populariti jatuh tapi sebab ia lebih kepada privasi. Lagipun saya mahu elakkan daripada terlalu mensensasikan hari perkahwinan saya,"katanya ketika ditemui pada majlis sidang media drama bersiri terbaharu, Lara Aishah, semalam.

Bagaimanapun kata Nazim, dia akan berkongsi lanjut di media sosial Instagram apabila sudah betul-betul bersedia dan segala urusan persiapan majlisnya selesai.

"Tarikhnya sudah ada tapi saya belum sedia berkongsi. Apa yang boleh saya katakan, majlis saya akan berlangsung dalam masa terdekat ini. Majlis saya sederhana saja.

"Setakat ini semuanya berjalan lancar dan ada beberapa perkara lagi yang saya perlu selesaikan. Apabila semuanya sudah okay, saya akan berkongsi lanjut di Instagram (IG) mengenai tarikh nikah, tempat dan lain-lain lagi," katanya.

Nazim mengikat tali pertunangan dengan pelakon Bella Dally atau nama penuhnya Nabila Ali Dally, pada 14 November tahun lalu.

Sementara itu menyentuh pula mengenai penglibatannya dalam Lara Aishah, Nazim berkata dia tertarik dengan jalan cerita drama yang diadaptasi dari siri telenovela Mexico popular berjudul La Loba itu.

Mengenai gandingannya bersama aktres berwibawa, Fasha Sandha, Nazim menyifatkan dirinya bertuah kerana dapat berkerja dengan seorang pelakon yang profesional dan sangat disiplin.

"Sebelum ini kami pernah berlakon bersama dalam drama Sutera Maya tapi hanya untuk beberapa babak. Dulu ketika di awal penglibatan saya, sejujurnya saya berasa agak takut dan segan hendak berlakon dengan beliau kerana beliau senior dan berpengalaman.

"Tetapi untuk drama kali ini, saya sudah berasa lebih yakin berlakon bersama beliau. Dia banyak membantu saya dan seorang pelakon yang 'memberi'. Dari segi mewujudkan keserasian juga tidak sukar.

"Malah saya seronok dapat terlibat dalam produksi ini kerana pelakon lain juga sangat komited dan kami tidak menghadapi masalah yang besar sepanjang penggambaran, "kongsinya.

Sebanyak 100 episod, Lara Aishah bakal ditayangkan mulai 29 Ogos ini di saluran Astro Prima. Diarahkan oleh Riza Baharudin, drama terbitan Global Station ini turut dibarisi pelakon seperti Datuk Eizlan Yusof, Dian P. Ramlee, Jasmin Hamid, Janet Khoo, Shahrizal Jazle dan ramai lagi.
Powered by Blogger.