F 8,000 pengunjung hadir ke PJ Fair 2016 | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

8,000 pengunjung hadir ke PJ Fair 2016

MERIAH! Hanya itu ungkapan sesuai untuk menggambarkan kemeriahan Festival Petaling Jaya (PJ Fair 2016) yang berlangsung kelmarin.

PJ Fair 2016 diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-10 Petaling Jaya sebagai Bandar Raya.

Sepertimana penganjuran sebelum ini, Pusat Bandar Seksyen 52 sekali lagi menjadi lokasi tetap festival selaras dengan hasrat  Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menceriakan Pusat Bandar ini melalui pelbagai program dan aktiviti sosial  dan seterusnya menyokong pelaksanaan Projek 'PJ Liveable City @ Seksyen 52.

Diadakan selama tiga hari bermula Jumaat lalu, PJ Fair 2016 turut menggamit pengunjung dengan konsert yang menggabungkan barisan artis popular tanah air.

Antara artis-artis tempatan yang menjayakan festival 'The Colors of PJ' adalah seperti Amy Search, Zamani Slam, Altimet, Amir Jahari, Hunny Madu, Eto Blues Gang, De Fam, Adeline Tsen dan Mr.5k.

Kira-kira 8,000 pengunjung tidak melepaskan peluang untuk menonton persembahan istimewa ini.

Sudah pasti kemunculan dua bintang ternama Zamani Slam dan bintang rock tempatan, Amy Search antara yang ditunggu-tunggu peminat setia mereka.

Dengan rangkaian lagu-lagu Amy Search seperti Isabella, Rozana, Aku Dah Bosan dan Kerja Gila, Amy ternyata menghiburkan pengunjung yang hadir.

Begitu juga Zamani yang mendendangkan lagu-lagu seperti Kembali Merindu, Kembali Terjalin, Nurkasih dan Gerimis Mengundang.

Ternyata aura kedua-dua penyanyi ini menghangatkan suasana malam konsert tersebut.

Sementara itu Datuk Bandar Petaling Jaya, Tuan Mohd Azizi Mohd Zin melahirkan rasa syukur kerana PJ Fair 2016 berlangsung dengan dengan jayanya, ditambah tahun ini ia mencipta kelainan tersendiri.

"Kami warga MBPJ menyahut seruan kerajaan Negeri untuk menjadikan Bandar Petaling Jaya ini sebagai kota seni bagi melahirkan masyarakat sentiasa hidup dengan interaksi sihat melalui aktiviti seni, kebudayaan dan intelektual.

"MBPJ akan terus komited memberikan yang terbaik untuk festival seperti ini dan menambah baik pengisian program akan datang agar sentiasa segar dan mengikut ‘trend’ semasa keinginan masyarakat setempat mahupun rakyat Malaysia," katanya.

Tidak hanya itu, PJ Fair 2016 mencatat kejayaan tersendiri apabila diiktiraf dalam Malaysia Book of Records apabila gambar wefie beramai-ramai berjaya dirakam.

Dengan rekod bilangan teramai iaitu 1,502 pengunjung, lebih manis gambar wefie yang dirakam telah dipegang sendiri oleh Tuan Mohd Azizi bersama para pengunjung di sana.

Acara kemuncak Malam PJ FAIR 2016 di rasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Antara aktiviti lain sepanjang festival PJ Fair 2016 ini berlangsung  adalah seperti persembahan .busking, persembahan kebudayaan, Pertandingan Peragaan fesyen kanak-kanak, Flea market, Food truck, Perarakan Mini, booth jualan baju dan pakaian sukan, pameran makanan antarabangsa yang dibawa khas dari negara  Hungary, Indonesia, Sudan, Kazakhstan, dan Bangladesh.

Selain itu, turut diadakan sesi ceramah bersama Ustaz Azhar Idrus yang dihoskan pelawak Ajak Shiro.
Powered by Blogger.