F Yuna terus lebar sayap | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Yuna terus lebar sayap

SELEPAS kolaborasi cemerlang bersama bintang R&B antarabangsa Usher melalui lagu ‘Crush’, penyanyi dan penulis lirik Yuna akui terus teruja merangka kerjaya seninya di pentas antarabangsa dan kini beliau mula mengintai peluang untuk bekerjasama dengan Beyonce.

Keterbukaan isteri rapper Jay-Z yang mahu bekerjasama dengan pasukan baru mendorong Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai untuk cuba mengambil peluang menghasilkan lagu untuk bintang pop dunia itu.

“Beyonce akan kumpulkan ramai penulis lirik di bawah satu bumbung untuk bekerja bersama, jadi impian saya adalah menjadi salah seorang penulis lirik yang menjadi pilihannya.

“Persaingan untuk berada dalam ‘camp Beyonce’ itu pasti sengit, namun itu adalah sasaran saya kini selain terus menghasilkan karya yang mampu memikat lebih ramai pendengar terutamanya di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, penerimaan yang begitu memberangsangkan terhadap album ketiganya, Chapters yang diterbitkan di Amerika Syarikat selepas dipasarkan pada 20 Mei lalu menguatkan lagi semangatnya untuk memperkukuh nama di arena antarabangsa.

Tidak mahu menunggu lebih lama, Yuna mula mengatur perancangan jelajah Eropah bagi melihat penerimaan masyarakat di sana terhadap lagu serta aliran muzik yang mampu menambat hati mereka.

“Saya juga mahu melihat bagaimana reaksi serta sambutan orang-orang Eropah terhadap album Chapters. Langkah awal ini juga boleh dikatakan seperti eksperimen untuk saya menyesuaikan muzik yang lebih sesuai untuk dibawa ke sana.

“Jelajah yang dijadualkan bermula sekitar September depan akan melibatkan Amsterdam, Berlin, London, Paris dan beberapa buah lokasi yang telah disenaraikan,” katanya.

Kongsinya, kos yang mahal bagi jelajah Eropah menyebabkan banyak kali usaha berkenaan tertangguh sebelum ini selain peluang yang ada kini lebih besar berbanding ketika mula-mula bertapak di peringkat antarabangsa.

“Kali ini saya sudah nampak situasi yang lebih jelas untuk membawa muzik saya ke Eropah, malah saya ada lebih banyak keyakinan untuk memperkenalkan bakat dan material yang dimiliki.

“Sudah pasti besar harapan agar karya dan bakat saya dapat diterima masyarakat di sana, ia akan terus membakar semangat untuk terus menghasilkan lagu yang berkualiti dan memikat hati semua pendengar,” katanya.

Teruja jadi model Mitsubishi ASX

Beralih ke sisi lain, Yuna yang ditemui media selepas majlis minum petang di Bangsar, Kuala Lumpur, menzahirkan penghargaan dan rasa besar hati selepas dilantik sebagai duta jenama Mitsubishi ASX.

“Saya sendiri merupakan pemilik sebuah model tersebut sejak 2012 jadi saya percaya dan selesa dengan kereta keluaran Mitsubishi.

“Mitsubishi ASX adalah sebuah kenderaan yang sangat bersesuaian dengan gaya hidup moden masa kini tanpa mengabaikan ciri-ciri keselamatan,” katanya.

Katanya, pengalaman memandu Mitsubishi ASX sememangnya menguja dan selesa sepanjang perjalanan.

“Saya ingin berterima kasih kepada Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) kerana memilih saya sebagai duta jenama model ini,” katanya.

Pilih beraya di kampung halaman

Walaupun sudah lebih lima tahun memilih Amerika Syarikat sebagai tempat mengembangkan karier, Yuna akui bahawa dia tidak pernah menyambut lebaran di negara asing.

“Dalam apa jua keadaan, sudah pasti saya memilih untuk berhari raya di kampung halaman sendiri bersama semua ahli keluarga dan juga kawan-kawan rapat.

“Saya mahu berada di sini bersama mereka yang sentiasa memberi sokongan sehingga saya mampu bertahan sehingga ke hari ini dan kini berjaya bertapak di persada seni antarabangsa,” katanya yang beraya di Kuala Lumpur dan Perak pada tahun ini.

Menurutnya, kemeriahan menyambut lebaran di tanah air sendiri tidak mungkin dapat dirasakan apatah lagi cuti raya menjadi ruang kesempatan untuknya meluangkan masa dengan mereka yang tersayang.
Powered by Blogger.