F WHAM Minta David Teo Jangan Salahkan Media | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

WHAM Minta David Teo Jangan Salahkan Media

Persatuan Penulis dan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM), meminta supaya produser filem, David Teo mengambil sikap lebih matang dan bertanggungjawab di dalam menangani sesuatu isu dan bukannya menyalahkan pihak lain.

Sebagai seorang individu yang dipandang tinggi dalam industri hiburan tanahair, David tidak seharusnya menyalahkan pihak lain apabila kenyataan yang dikatakan telah dibuat beliau kini menjadi isu hangat dan mendapat kecaman dari pencinta seni tanahair khususnya dan masyarakat amnya.

Presiden WHAM, YM Tengku Khalidah Tengku Bidin menyeru produser itu tidak meletakkan kesalahan keatas pihak media di dalam isu terkini membabitkan kenyataan yang dibuat oleh beliau yang dikatakan ada unsur penghinaan terhadap seniman Agung Allahyarham, Tan Sri P. Ramlee, kepada Portal Online Malay Mail pada 10 Julai lalu.

Dalam berita tersebut, David dikatakan telah membuat kenyataan bahawa dia selalu menasihati artis dibawah syarikatnya supaya tidak menjadi seperti P. Ramlee yang hidup susah. Antara kenyataan yang dibuat beliau, kesusahan hidup P. Ramlee menyebabkan seniman tersohor itu terpaksa tinggal di pinggir Bukit Bintang, selain anak yang ditinggalkan Allahyarham dikatakan hanya bekerja dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sahaja.

Kenyataan David telah mendapat kritikan cukup hebat daripada karyawan seni tempatan, termasuk kalangan artis muda.

Ekoran itu, David telah mengeluarkan satu kenyataan yang menafikan bahawa dia ada membuat kenyaaan dengan menyebut nama P. Ramlee. David mendakwa media telah tersalah lapor akan kenyataannya.

“Merujuk kepada kenyataan akhbar yang dibuat oleh produser berkenaan yang saya terima pada pukul 12.44 pagi Isnin. David menafikan dia telah membuat kenyataan memburuk-burukkan nama P. Ramlee. Dalam kenyataan akhbar yang sama, David seolah-olah meletakkan pihak media sebagai tersalah lapor dan salah tafsir terhadap apa yang telah beliau nyatakan.

“WHAM kesal dengan apa yang dijelaskan oleh produser itu kerana ia seolah-olah telah meletakkan seluruh kesalahan kepada pihak media yang ‘kononnya’ tersalah lapor.

“Saya percaya media tidak akan mengada-adakan berita kerana mereka beroperasi atas Etika Kewartawanan yang kami junjung. Menjadi prinsip ahli media untuk tidak melaporkan benda yang tidak diperkatakan.

“Media tidak akan buat benda yang tidak dilaporkan oleh nara sumber kami. Justeru, David tidak boleh meletakan kesalahan kepada media apabila kenyataannya telah mendapat kritikan hebat daripada anggota masyarakat yang lain,” kata Tengku Khalidah.

Menurut Tengku Khalidah, sebagai produser filem yang mempunyai pengaruh yang besar, David perlu mengambil seluruh tanggungjawab terhadap apa jua pendapat yang telah beliau utara, bukan dengan meletakkan kesalahan kepada pihak lain seperti sekarang.

Selain itu juga, Presiden WHAM itu juga mahu supaya wartawan, terutamanya wartawan seni dan hiburan mempunyai pertimbangankendiri dalam membuat laporan. Ini terutamanya apabila menulis berkaitan hal-hal sensitif yang membabitkan ikon Negara yang telah pun meninggal dunia.

“Sebagai orang media, kita sendiri perlu ada pertimbangan kendiri. Tidak semua kenyataan sensasi yang dluahkan oleh nara sumber perlu disiarkan. Jika ia membabitkan isu sensitif terutamanya mereka yang sudah meninggal dunia, sewajarnya kita perlu lebih sensitif kerana kita perlu menghormati perasaan banyak pihak, terutamanya keluarga mereka.

“Media perlu ada pertimbangan kendiri, meskipun kita selalu mahu membuat laporan yang terkini dan dibaca oleh ramai orang,” katanya.

Pihak WHAM berharap agar David Teo menarik balik kenyataan beliau dan segera mengambil langkah langkah yg lebih proaktif dalam menangani kemelut ini. Wham juga berharap semua pihak agar bertenang dalam usaha sama sama membantu membangunkan industri perfileman negara.
Powered by Blogger.