F TMJ: Pemain kebangsaan sudah keletihan | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

TMJ: Pemain kebangsaan sudah keletihan

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim  berkata, tindakan beberapa pemain Johor Darul Ta’azim (JDT) mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan adalah disebabkan sudah letih dengan panggilan latihan yang tidak sewajarnya.

Tunku Ismail berkata, pemain kebangsaan perlu menghabiskan masa selama berbulan-bulan di kem latihan yang dilihat tidak memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan.

“Untuk memahami keadaan ini, anda perlu menggunakan otak anda, walaupun kebanyakan anda tidak menyukainya.

“Pemain ini sayangkan negara mereka. Mewakili negara adalah penghormatan terbesar yang pernah mereka lalui dalam kerjaya mereka.

“Mereka bukan melakukannya kerana tidak suka kepada Malaysia. Mereka melakukan kerana mereka adalah manusia seperti anda dan saya,” katanya menerusi kemas kini status di laman sosial Facebook Johor Southern Tiger hari ini.

Selain daripada itu, Tunku Ismail memaklumkan bahawa para pemain terpaksa bermain untuk sebuah organisasi yang tidak pernah mengendahkan hal ehwal kebajikan mereka dan hanya berdiam diri apabila ada di antara pemain yang tidak menerima bayaran gaji daripada kelab masing-masing.

Tunku Ismail mendakwa, para pemain juga terpaksa bermain untuk seorang pemimpin yang tidak pernah menghadiri sebarang latihan atau pun mesyuarat.

“Mereka terpaksa bermain untuk seorang pemimpin yang tidak mengetahui nama mereka dan kewujudan mereka.

“Mereka juga terpaksa bermain untuk sebuah organisasi yang tidak ambil kisah apabila mereka mengalami kecederaan.

“Terdapat lebih ramai lagi pemain yang mahu mengambil tindakan yang sama seperti pemain JDT lakukan tetapi mereka terlalu takut dengan pengurusan mereka,”katanya.

Dalam pada itu, Tunku Ismail memaklumkan bahawa beberapa pemain harimau selatan yang mengumumkan persaraan daripada pasukan kebangsaan sebelum ini telah bertemu dengannya terlebih dahulu bagi menyatakan hasrat mereka tersebut.

Menurut Tunku Ismail, pihaknya menyokong keputusan yang dibuat oleh pemain itu malah ada di antara mereka turut meminta bantuannya bagi membuat pengumuman melalui laman rasmi JDT.

“Mereka tidak mahu mengumumkannya melalui media dan akaun media sosial mereka sendiri kerana terdapat ramai peminat bolasepak yang tidak bertanggungjawab sentiasa akan menyalahkan tindakan mereka,”katanya.
Powered by Blogger.