F Tidak dapat lama bermanja | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Tidak dapat lama bermanja

Kegembiraan sepasang suami isteri apabila anak yang sakit selama ini kembali sihat tidak bertahan lama, selepas anak berkenaan ditemui lemas dalam parit Kampung Repek, jam 1.45 petang semalam.

Mangsa, Muhamad Farhan Abd Ghaffar, 6, menghidap sakit jantung berlubang dan injap tersumbat sejak kecil, dipercayai keluar dan berlari seorang diri berhampiran parit berkenaan sebelum tergelincir dan lemas.

Bapa mangsa, Abd Ghaffar Daud, 52, berkata, dia baru mendapat khabar gembira mengenai kesihatan anak bongsunya itu selepas pemeriksaan kesihatan di hospital, baru-baru ini.
"Saya memang tak sangka penyakit kronik yang dihidapi anak saya sejak lahir dapat disembuhkan selepas beberapa kali pembedahan," katanya.

Abd Ghaffar berkata, ketika kejadian dia berada di rumah di Kampung Gual To’ Deh sementara isteri dan anak-anak ke rumah mentua di Repek.

Katanya, anak bongsunya itu dikatakan berlari seorang diri dan hanya disedari seorang remaja 15 tahun yang dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.
“Dia cuba kejar anak saya tapi tak sempat capai tangannya, sebelum tergelincir dalam parit itu.

“Sebab tak tahu berenang, dia terpaksa panggil penduduk yang ada berdekatan untuk tolong,” katanya.

Mangsa yang juga murid Pasti al-Fitrah Banggol Kulim, diselamatkan penduduk lima minit kemudian dan dihantar ke Hospital Pasir Mas, namun disahkan telah meninggal dunia.

Sebelum ini, masalah jantung berlubang dan injap tersumbat dihidapi Muhamad Farhan pernah disiarkan Sinar Harian menerusi ruangan Sinar Harian Dihati.

Muhammad Farhan disahkan sihat sepenuhnya selepas menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian tahun lalu.

Anak bongsu daripada lima beradik ini hanya dikehendaki menjalani pemeriksaan susulan enam bulan akan datang.

Sementara itu, ibu mangsa, Nazirah Md Yusoff, 47, berkata, Allahyarham sebelum itu kelihatan beria-ia mengaji al-Quran pada malam kelmarin, namun dia beranggapan keadaan itu kerana dia teruja tidak lagi dibelenggu penyakit kronik.

“Kami reda dengan pemergiannya. Sebelum ini pelbagai usaha dilakukan supaya dia sembuh dari penyakit jantung.

"Saya gembira sebab sempat tunaikan impiannya untuk pergi ke sekolah bersama rakan-rakan seusianya,” katanya.
Powered by Blogger.