F 'Temuan Takdir', filem pertama ditayangkan di awan biru | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

'Temuan Takdir', filem pertama ditayangkan di awan biru

BUAT pertama kalinya, sebuah filem Malaysia 'Temuan Takdir' akan ditayangkan di peringkat antarabangsa dalam 33‎ penerbangan AirAsia A320, tiga hari sebelum filem itu ditayangkan di seluruh negara pada 11 Ogos ini.

Penerbit yang pertama kali mengarahkan filem, Dhyan Vimal berbesar hati‎ apabila karya sulungnya itu akan ditayangkan secara global pada ketinggian 36,000 kaki oleh AirAsia.

"Saya sangat berbesar hati apabila AirAsia mengiktiraf filem pertama saya untuk penerbangan mereka dan semestinya ia bukan sahaja detik bersejarah buat saya tetapi juga industri perfileman secara keseluruhan," katanya pada sidang media selepas pratonton filem itu di sini hari ini.

Dhyan, pengasas sebuah pertubuhan bukan kerajaan 'Friends to Mankind' berkata filem yang menelan kos RM1 juta itu merupakan projek di bawah organisasinya yang bermula 12 tahun lalu.

"(Filem ini) menggabungkan pelakon veteran seperti Datuk Zahim Albakri dan Vanidah Imran bekerjasama dengan artis-artis baharu," katanya.

Temuan Takdir turut membariskan personaliti televisyen Azura Zainal, pelakon Ery Zukhairi, Amai Kamarudin dan Malieq Abdullah serta muka baharu Thanuja Ananthan dan Kiranjit Kaur.

Filem aksi berdurasi 90 minit itu mengisahkan dua anggota polis adik-beradik yang dimainkan oleh Zahim dan Ery, menyiasat satu kes rompakan, yang berkisar tentang cinta, keluarga, pengorbanan dan keselamatan.

Ia juga memberikan penonton pemahaman mendalam tentang kehidupan anggota polis dan pengorbanan mereka untuk negara.

Bagi Vanidah yang sangat berpuas hati dengan filem yang diterbitkan oleh Dhyan itu berkata: "Dari saat saya menerima tawaran hingga menjadi sebahagian daripada produksi ini, ia adalah sangat menyenangkan."

"Saya berpuas hati dengan hasil filem ini. Dhyan telah melakukan kerja yang hebat untuk filem pertamanya," kata pelakon senior itu.

Azura pula berkata beliau sangat teruja dengan kemunculan pertamanya dalam lakonan dan menambah beliau banyak belajar ketika dalam set penggambaran.
Powered by Blogger.