F Shukri sindir Naib Ketua Pemuda Umno | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Shukri sindir Naib Ketua Pemuda Umno

Tindakan Pemuda Umno yang menuduh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed terlibat dalam konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri disifatkan sebagai orang yang tidak berilmu.

Timbalan (Operasi), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, individu terbabit yang turut membuat laporan polis itu tidak dapat membezakan antara perjuangan banteras rasuah dengan komplot itu.

"Tan Sri diakhir persaraannya pun, beliau masih dicerca dan dicela, hingga ada pihak tergamak membuat laporan polis bahawa beliau konspirator untuk menjatuhkan kerajaan.

"Individu yang membuat laporan polis terhadap Tan Sri ini orang tidak berilmu, tak dapat membezakan di antara perjuangan rasuah kerana sayangkan negaranya," katanya dalam ucapan persaraannya dalam Majlis Paluan Berundur di ibu pejabat SPRM, hari ini.

Selasa lalu, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun yang membuat laporan polis terhadap Abu Kassim, bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Menurut Khairul Azwan, ketiga-tiga individu berpengaruh di negara ini disyaki memberi dokumen dan maklumat sulit kepada agensi luar negara, termasuk kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) untuk menjatuhkan Perdana Menteri, dan kerajaan Malaysia.

Shukri juga menegaskan, segala tegurannya dalam usaha pencegahan rasuah yang dilakukan selama lebih 30 tahun di SPRM bukan bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak.

"Nasihat saya adalah tanpa sebarang prejudis, tiada niat buruk, tiada syak wasangka buruk, apatah lagi untuk melakukan konspirasi untuk memburuk atau menjatuhkan mana-mana pihak," ujarnya.

Beliau pada hari terakhirnya semalam turut mengingatkan pihak pendakwaan supaya membuat keputusan dengan adil, tanpa mengira individu dan berdasarkan bukti serta undang-undang-undang.

"Peraturan dan undang-undang terpakai kepada semua orang. Jangan berat sebelah. Ini kerana tugas pendakwaraya dan timbangraya ialah untuk membantu untuk menguatkan kes.

"Kepada hakim yang bijaksana, jatuhlah hukuman dengan seadil-adilnya, kerana semua pihak yang terlibat suatu hari nanti, kita akan bertemu dengan hakim yang maha adil, yang akan menjatuhkan hukuman di hadapan kita," tegasnya.

Beliau turut mengingatkan jemaah menteri, wakil rakyat serta ahi politik supaya menjalankan khidmat kepada rakyat dengan penuh integriti.

"Ingatlah kamu berada di atas sekarang adalah kerana rakyat. Jadi utamakan rakyat, berkhidmatlah kepada rakyat dengan sepenuh hati dan penuh integriti.

"Ingat suatu hari nanti, rakyat akan menjadi saksi bila bertemu dengan pencipta kita (ALLAH). Pada masa itu, tiada jawatan, tiada pengaruh, tiada konspirasi, tiada kuasa yang boleh bantu mereka mempengaruhi keputusan yang telah dibuat oleh pencipta kita," katanya.

Dalam majlis berkanaan, Shukri yang dinobatkan sebagai Tokoh Kesatria SPRM juga menegaskan bahawa badan itu bukan tempat untuk pegawai-pegawai yang pengecut, takut dan gentar terhadap cabaran jenayah rasuah.

"Pelihara peranan SPRM mencegah rasuah, banyak halangan dan dugaan yang dihadapi, hadapi segala rintangan ini dengan tabah.

"Pihak yang menentang SPRM ialah mereka menetang kerja mulia dan merupakan pencacai dan pendokong rasuah. Ingatlah, masih ramai lagi yang menaruh harapan tinggi kepada SPRM," jelasnya.

Beliau turut menyifatkan mana-mana pihak yang mencea dan menabur fitnah terhadap SPRM sebagai anjing menyalak pokok.

"Pokok tidak akan tumbang, pokok terus berbunga lebat, berbuah dengan manisnya, akhirnya nanti buahnya akan dinikmati oleh semua orang," katanya lagi.
Powered by Blogger.