F Roti canai kuah rendang | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Roti canai kuah rendang

MASIH dalam mood hari raya, stesen televisyen masih lagi menyiarkan program-program terbaik. Sebuah telefilem menarik bertajuk Roti Canai Kuah Rendang mengisi slot Citra di TV2 pada 26 Julai hadapan, jam 10.00 malam.  

Telefilem komedi kekeluargaan arahan Sham Jr ini menggandingkan Azad Jasmin dan Ramona Zam Zam selain dibantu Farouk Hussein, Sheila Mambo dan Acong Sweetchild.

Berkisarkan watak Khalid Aziz anak kepada seorang pemilik restoran nasi kandar, Ali Khan. Khalid pulang ke Malaysia pada bulan Ramadan selepas tamat pengajiannya di luar negara. Khalid berhasrat mahu berehat daripada memikirkan soal jodoh yang dipukul canang oleh ibunya iaitu Normala untuk menjodohkan Khalid dengan sepupunya sendiri.

Malah Normala juga mendesak anak tunggalnya itu bekerja di bawah syarikat abang kandungnya sebagai seorang akauntan sesuai dengan kelulusan akademik yang dimiliki Khalid. Ali Khan pula tidak berpihak kepada desakan isterinya kerana dia mahu melihat Khalid mewarisi perniagaan nasi kandarnya pada masa hadapan kerana itu perniagaan keluarga turun temurun.

Khalid mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman ibu kepada bapanya bagi meredakan ketegangan daripada desakan ibunya dan gangguan daripada sepupunya iaitu Shasha yang berusaha mahu merapatkan hubungan antara mereka.

Ali Khan memahami perasaan anaknya dan menyokong sahaja tindak tanduk anaknya itu. Apa yang penting bagi Ali Khan mahu melihat Khalid mewarisi perniagaan restorannya. Sejak pulang ke Malaysia, Khalid jatuh hati pandang pertama dengan seorang gadis yang bernama Zetty yang sering berkunjung ke restoran bapanya.

Setiap kali usaha Khalid mahu meluahkan perasaan hatinya kepada Zetty terhalang dengan pelbagai rintangan yang datang secara kebetulan.

Sehinggalah pertemuan mereka berdua berlaku di sebuah persimpangan jalan di sebuah pekan angkara kecuaian Zetty yang tidak berpuasa menyebabkan keretanya terlanggar kereta Khalid. Khalid menggunakan peluang ini untuk mendekati Zetty dengan meletakkan syarat mahu keretanya yang rosak itu dibaiki di bengkel yang terletak di kampung Zetty. Khalid membatalkan niatnya untuk pulang ke kampung neneknya selepas Zetty menerima sahaja syarat tersebut tanpa mengetahui siapa sebenarnya Khalid.

Di kampung, Zetty meluahkan masalahnya yang kurang senang dengan pendirian bapanya mahu beliau rapat dengan rakan perniagaan bapanya. Dan di kampung Nek Fatimah mula melihat keserasian hubungan di antara Zetty dan Khalid yang membawa kepada cerita lama dua pelajar bidang masakan Nek Fatimah iaitu Ali dan Datuk Zubir.

Sikap Khalid yang nakal dan kurang pendidikan agama akhirnya berjaya dibentuk oleh Nek Fatimah, begitu juga Zetty yang membawa kepada usaha Nek Fatimah untuk satukan mereka berdua dengan caranya yang tersendiri.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui RTM Mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.
Powered by Blogger.