F #RevivalTourMalaysia: Selena Gomez Tak Seksi Mana Pun... | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

#RevivalTourMalaysia: Selena Gomez Tak Seksi Mana Pun...

Kempen memboikot serta bantahan PAS terhadap konsert penyanyi sensasi Amerika Syarikat, Selena Gomez, yang dicetuskan sejak beberapa hari lalu sebelum berlangsungnya konsert tersebut di Stadium Malawati Shah Alam malam tadi, tidak berjaya.

Sebaliknya konsert yang diberi nama Selena Gomez Revival Tour in Malaysia 2016 itu berlangsung lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Kuala Lumpur merupakan destinasi persinggahan kedua bagi penjelajahannya di negara di Asia Tenggara selepas persembahan di Jakarta, Indonesia, kelmarin.

Bagaimanapun beberapa jam sebelum konsert bermula, sekumpulan anggota daripada Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID) kelihatan berkumpul di perkarangan stadium, membuat pemantauan sambil membawa banner yang bertulisan menggambarkan tindakan protes terhadap konsert tersebut.

Kakigosip juga difahamkan sepasukan anggota polis berada di luar stadium sejak petang lagi bagi bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Sementara itu, sepanjang membuat persembahan selama lebih kurang dua jam, penyanyi berusia 24 tahun itu tampil dengan pakaian sopan dan tidak menjolok mata.

Bekas kekasih Justin Bieber ini mempamerkan persembahan dan aksi yang bertenaga. Bersama iringan beberapa penari latar yang juga diterbangkan khas dari Amerika, Selena mendendangkan para Selenators (panggilan untuk peminat tegar) dengan deretan lagu antaranya, Same Old Love, Who Say, Nobody, Hand To Myself, Me & The Rhythm, Come & Get It, Me & My Girl, I Want You To Know, Love Like A Love Song, Body Heat Sweet Dreams dan di akhiri dengan Revival.

Beberapa kali berganti persalinan, penyanyi berdarah kacukan Latin-Amerika ini tetap nampak cantik dan menawan meskipun hanya mengenakan outfit berkonsep santai, berbaju-T lengan panjang dan berseluar panjang.

Pun begitu, di satu ketika, Selena mencuri tumpuan apabila muncul dengan persalinan gaun labuh berwarna perak. Gaun tesebut kelihatan sedikit seksi kerana ia mendedahkan bahagian lengan dan belakang badan penyanyi itu.

Terdahulu, media melaporkan konsert tersebut mendapat bantahan daripada PAS kerana penganjuran konsert berkenaan dianggap mencemarkan kemuliaan Syawal.

Selain itu, Pengerusi Lajnah Dakwah Pemuda Pas, Hafez Sabri, dalam satu kenyataan juga dilaporkan berkata, kedatangan Selena Gomez dianggap menghidupkan budaya hedonisme dalam kalangan generasi muda di negara ini.

Turut membantah ialah Muslimat Pas yang menyifatkan artis barat itu berimej 'seksi dan liar'.

Dalam rangkaian konsert kali ini di beberapa negara lain sebelum ini, Selena mengenakan pakaian berkonsep bikini ketika beraksi di pentas.

Namun pada konsert malam tadi, Selena mendapat pujian ramai peminat tempatan kerana beliau menghormati serta mematuhi peraturan negara ini kerana tidak berimej seksi sepanjang beraksi di sini.

Ramai pengguna media sosial memuji cara pemakaian Selena yang dilihat sopan dan menghormati budaya Malaysia. Malah ada yang sebilangan pengguna media sosial berpendapat, mungkin artis Malaysia boleh belajar berpakaian sopan daripada Selena.
Powered by Blogger.