F PU Azman selesa berdakwah dalam lakonan | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

PU Azman selesa berdakwah dalam lakonan

PROGRAM realiti dakwah, Pencetus Ummah (PU) telah mengangkat Azman Syah Alias, 35, sebagai selebriti dakwah selepas berjaya menjuarai program tersebut pada 2014.

Selepas program itu, PU Azman Syah atau lebih mesra dipanggil PU Azman, semakin dikenali masyarakat terutama sekali daripada masyarakat Islam. Meskipun semakin popular, ia tidak mengubah sikapnya sebelum dia menyertai PU.

“Alhamdulillah, selepas tamatnya PU, rezeki yang ALLAH SWT kurniakan kepada saya semakin bertambah. Saya semakin banyak mendapat tawaran untuk berlakon di beberapa buah drama dan telemovie,” katanya kepada Zass.

Sudah membintangi tiga telemovie dan sebuah drama bersiri seperti Abang Beduk, Tanah Kubur Ummah Jahiliyyah, Batu Nisan Hitam dan Bila Hati Telah Hitam dan bakal berlakon di dalam sebuah drama yang diarahkan oleh pengarah terkenal, Murali Abdullah.

“Kami sepatutnya memulakan penggambaran drama tersebut selepas habis bulan Ramadan namun hal ini terpaksa ditangguhkan akibat insiden bom yang berlaku di Masjid Nabawi, Madinah penghujung Ramadan lalu,” katanya.

Ditanya mengenai keterlibatannya dalam bidang lakonan ini akan menjadi karier tetapnya, PU Azman tidak meletakkan tempoh masa untuk berada di bidang tersebut.

“Ia bergantung kepada situasi. Sekiranya saya akan berlakon sekiranya pengarah masih lagi menawarkan tawaran lakonan, Insya-ALLAH, saya akan terus berlakon,” katanya.

Jelasnya, berlakon juga merupakan cabang untuknya melakukan dakwah bagi mendekatkan masyarakat mengenai Islam.

Dakwah jalanan

Meskipun semakin aktif dalam bidang hiburan, PU Azman tidak melupakan bidang dakwah yang menjadi karier utama dalam hidupnya.

Masih lagi menerima beberapa jemputan untuk melakukan ceramah daripada beberapa agensi kerajaan dan swasta di seluruh negara.

PU Azman juga turut mempromosikan program ceramahnya di laman sosial Facebook Pencetus Ummah Azman Syah.

Selain menerima jemputan berceramah, PU Azman sering kali melakukan dakwah di sekitar negeri kelahirannya, Negeri Sembilan kepada masyarakat Islam.

“Memandangkan saya tinggal di Ampangan, kebiasaannya saya berdakwah di jalanan kepada anak-anak muda terutama sekali golongan mat motor (mat rempit) di sekitar Senawang.

“Dengan pendekatan saya ini, Alhamdulillah, golongan ini dapat menerimanya dan ini sedikit sebanyak memupuk minat mereka untuk mendalami ilmu berkaitan Islam,” katanya.

Di samping berdakwah secara fizikal, PU Azman turut pergi ke sekolah sekitar kawasan tempat tinggalnya, mencari pelajar bermasalah untuk membantu mereka memperbaiki disiplin mereka.

PU Azman juga sering aktif dalam aplikasi media sosial, WeChat memandangkan remaja masa kini suka berkomunikasi melalui aplikasi berkenaan.

“Saya ada membuat sebuah kumpulan di WeChat iaitu Group Santai Bersama PU Azman, yang mana, saya menjawab segala persoalan yang ditanyakan ahli kumpulan tersebut,” katanya.

Dugaan menjadi selebriti

Setiap manusia diberikan ALLAH SWT ujian bagi menguji keimanan seseorang dan PU Azman juga tidak terlepas daripadanya.

Sepanjang menjadi selebriti, Azman menghadapi ujian daripada pelbagai sudut. Namun, dia cuba mengharungi setiap ujian tersebut dengan hati yang tabah dan redha.

“Saya percaya, setiap ujian yang diturunkan kepada saya, ada hikmah di sebaliknya. Jadi, saya sentiasa cekalkan hati untuk menghadapi kesemua ujian ini,” katanya.

Memandangkan kini sibuk dengan aktiviti dakwah dan berlakon, PU Azman sentiasa membahagikan masa bagi memastikan PU Azman dapat menghadiri kesemua program dan sesi penggambaran yang disertainya.

“Memandangkan saya masih berceramah, saya sentiasa mencari masa terluang untuk terus belajar bagi mendalami agama Islam,” katanya yang bersyukur keluarga menjadi tunjang kepada dirinya untuk sentiasa kuat dan cekal dalam melakukan apa-apa perkara.

Powered by Blogger.