F Pertahan warisan seni tari Melayu | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Pertahan warisan seni tari Melayu

GERAK tarinya sangat teratur dan 'menawan', bahkan lenggok badannya pula begitu gemalai ketika mempersembahkan tarian kesenian tradisional Melayu.

Ya, melihat gadis genit ini menari, pasti sesiapa sahaja akan terpukau menyaksikannya.

Tambahan pula, ia merupakan tarian yang sangat unik dan memerlukan minat serta kepakaran yang tinggi untuk dipersembahkan.

Namun, bagi Nurul Ellyna Ramlan Rus atau lebih mesra dengan panggilan Ellyna, seni warisan bangsa ini mestilah dipelajari supaya tidak pupus ditelan zaman.

"Jujurnya, seni tari Melayu ini lebih dekat dengan hati saya. Jadi, adalah penting untuk saya terus mempertahankan tarian Melayu.

"Bagi saya, tarian ini adalah sebahagian daripada maruah kita apatah lagi apabila ia turut menggambarkan kelembutan dan kehalusan budaya," katanya kepada Zass ketika ditemui pada sesi latihan Teater Lela Manja, kelmarin.

Terus leka dengan langkah tarinya, gadis berusia 23 tahun ini mengakui dirinya bagaikan 'diserap' jauh ketika mendengarkan alunan lagu-lagu Melayu lama sekali gus menyebabkannya bangun untuk menari.

"Ya, saya ada 'rasa' situasi itu. Ia membuatkan saya berada dalam keadaan tidak sedar dan berhalusinasi. Tapi, itu bukanlah bermakna saya 'dirasuk' sebaliknya ia hadir dengan sendiri.

"Sebenarnya, saya ini jenis yang suka menghayati lagu dan berangan. Jadi, secara tidak langsung, saya akan membayangkan keadaan sebenar yang seolah-olah ada di persekitaran.

"Kalau diikutkan, keadaan itu juga akan lebih menampakkan lenggok tarian seseorang itu lebih semula jadi kerana ia lebih menjiwai karakter tersebut," katanya.

Tidak hanya itu, Ellyna juga mengakui asal sesebuah tarian itu banyak dipengaruhi oleh kehidupan masyarakat masa silam.

Bahkan, segala gerak-geri, liuk lentok dan lemah gemalai gerakan badan seorang penari juga menggambarkan kehidupan masyarakat Melayu zaman silam.

"Secara peribadinya, saya meminati tarian asli dan istana kerana ia mempunyai keindahan dan keunikan tersendiri.

"Tarian ini mempunyai kesenian yang mendalam sekali gus melambangkan ciri-ciri kemelayuan yang sangat tinggi, melihat lenggok dan gerak-gerinya saja pasti akan terpukau," katanya.

Walaupun berfokus pada seni tarian tradisional Melayu, anak sulung daripada empat adik-beradik ini juga mampu menguasai tarian moden dengan baik sekali,

"Alhamdulillah. Mungkin pencapaian saya pada hari ini sudah mencapai tahap 90 peratus, tetapi saya masih belum berpuas hati lagi.

"Ada banyak lagi yang perlu dipelajari dan tingkatkan sementelah saya sangat meminati seni tarian tradisional.

"Lagipun, setiap lenggok dan gerakan badan yang dipelajari itu mempunyai keindahannya tersendiri.

"Mungkin ada sesetengah individu menganggapnya sebagai sesuatu yang mudah tetapi ia sebaliknya jika tidak mempunyai minat serta kesungguhan," katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang tarian.

Berkat doa ibu

Menceritakan pembabitannya dalam bidang seni tarian, segala-galanya bermula di atas dorongan ibunya, Norliza Mohd Khalil.

"Sebelum ini, saya aktif dalam sukan bola jaring, hoki dan olahraga sejak berusia sembilan tahun lagi.

"Seperti mana tarian, saya aktif dalam sukan juga atas dorongan ibu.

"Biarpun ibu yang menyuruh, sebagai anak, saya tidak kisah untuk melakukannya dan hanya mendengar saranan dan nasihat daripadanya," katanya.

Ellyna mula menceburi bidang seni tarian sejak berusia 12 tahun.

"Ketika itu, ibu mengajak saya menonton persembahan tarian di Taman Budaya, Pasar Seni.

"Menerusi persembahan itu, mata saya 'terbuka' untuk melihat lebih jelas hasil pergerakan, suasana, lenggok tari dan solekan dalam sesebuah tarian.

"Apa yang nyata, ia nampak cantik sekali," katanya.

Hasilnya, kejayaan paling bermakna yang dicapainya adalah apabila Ellyna berjaya menggilap bakat menarinya dan pergi lebih jauh menerusi rumah produksi, Anggun Production.

"Menerusi penglibatan dalam produksi tersebut, karier saya sebagai penari mula berkembang.

"Bonusnya, melalui Anggun Production, saya banyak terbabit dengan pelbagai persembahan sehingga berpeluang hingga ke luar negara seperti Bangkok dan Thailand," katanya.

Jelasnya, kerjayanya sebagai penari juga dilihat semakin cerah selepas terpilih sebagai Artis Budaya di Istana Budaya, sejak dua tahun lalu,

"Saya sertai Istana Budaya juga atas sokongan dan dorongan dari ibu kerana dia merasakan ia sebagai satu peluang yang besar untuk saya.

"Nampaknya, pandangannya itu benar sama sekali kerana tidak hanya di sini, saya juga terlibat sebagai salah seorang penari sehingga Ske peringkat antarabangsa dan berjaya membuat beberapa persembahan di luar negara seperti Indonesia, Korea, London. India, Italy, Rusia, London, Jepun dan Berlin," katanya.

Pun begitu, menyedari akan 'jangka hayat' seseorang penari yang tidak panjang, Ellyna berhasrat untuk terlibat dalam bidang pelancongan suatu hari nanti.

"Saya kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan di Open University Malaysia (OUM).

"Kenapa saya memilih bidang pelancongan? Saya merasakan bidang inilah yang paling 'dekat' dengan kebudayaan yang saya sedang ceburi pada hari ini," katanya.
Powered by Blogger.