F Perkahwinan cara Islam: Itu cara saya berdakwah | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Perkahwinan cara Islam: Itu cara saya berdakwah

BERDAKWAH bagi mengajak manusia mengenali Islam boleh dilakukan melalui pelbagai cara.

Itulah dilakukan bekas vokalis kumpulan nasyid Raihan, Afad dalam usaha menarik masyarakat terus mendekati dan mencintai Islam.

Selain sering mengadakan kuliah di masjid di kawasan tempat tinggalnya, Afad atau nama sebenarnya Zulfadli Mustazar, 32, turut mempromosikan perkahwinan mengikut cara Islam.

Menceritakan penglibatannya dalam bidang itu, Afad berkata, pada mulanya, dia dipanggil untuk membaca selawat dan melakukan persembahan pada majlis perkahwinan untuk beberapa tahun.

“Tetapi saya mengambil keputusan untuk mengajak masyarakat Islam untuk melakukan perkahwinan secara Islamik setelah membaca beberapa buku serta merujuk kepada beberapa agamawan.

“Beberapa ustaz yang saya jumpa setuju dengan hasrat saya untuk mempromosikan perkahwinan Islamik,” katanya kepada Zass.

Bertemu Afad di kediamannya, anak muda ini berkongsi mengenai syarikat yang ditubuhkan bagi mengendalikan perkahwinan.

“Saya banyak merujuk pelbagai sumber bagi memastikan sesebuah perkahwinan dikendali ikut syariat.

“Saya tidak sekali-kali memikirkan perniagaan ini akan mengaut keuntungan semata-mata, sebaliknya mahu semua pihak, termasuk rakan-rakan saya yang mengendalikan majlis tersebut mendapat keberkatan daripada apa yang mereka lakukan,” katanya.

Jelasnya, apa yang dilakukan ini hanya sebagai pemudah cara sahaja di mana sebelum sesebuah majlis berlangsung, keluarga pengantin akan berjumpa dengannya untuk mendapatkan nasihat daripadanya.

“Biasanya, saya akan jelaskan kepada keluarga pengantin, apakah tujuan walimatul urus diadakan supaya mereka faham dan mendapat gambaran sebenar,” katanya.

Pada majlis itu, pihaknya akan menukar beberapa adat perkahwinan yang dirasakannya tidak sesuai dengan syariat Islam.

“Contohnya, kita tukar adat menepung tawar dengan beberapa tindakan lain seperti bersalaman dengan ahli keluarga, bacaan doa daripada pengantin lelaki dan lain-lain lagi,” katanya.

Katanya, inilah caranya berdakwah dan berharap usaha ini akan terus diterima.

Aktif bersama NGO

Selain melakukan perkahwinan Islamik, Afad turut aktif melakukan pelbagai kerja amal dengan menyertai beberapa NGO.

Bagi Afad, dengan menyertai program-program amal, ia akan terus mendidik jiwa dan diri seseorang untuk terus bersyukur.

“Dengan cara ini, saya boleh dekati masyarakat dengan mendengar luahan hati mereka.

“Selain itu, apabila kita lakukan kerja amal, akan terbit rasa syukur bagi mengenangkan kesenangan hidup yang dianugerahkan ALLAH SWT,” katanya.

Afad bersama beberapa kumpulan nasyid lain pernah bekerjasama dengan pertubuhan bantuan Islam antarabangsa, Islamic Relief untuk mencari dana bagi pertubuhan itu, dalam usaha pertubuhan itu untuk bantu golongan memerlukan pada Ramadan lalu.

Dalam pada itu, Afad turut melakukan kerja amal bersama pertubuhan yang menghimpunkan artis yang meminati motosikal berkuasa besar yang dikenali sebagai Malaysian Musician Bikers (MMB).

“Pada Ramadan lalu, saya bersama beberapa artis di dalam pertubuhan ini berbuka puasa di sebuah pusat tahfiz di Lembah Klang. Insya-ALLAH, kami merancang melakukan beberapa program lagi pada masa akan datang,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai MMB, pertubuhan ini telah dilancarkan pada 2013 dan disertai 70 artis. Kumpulan itu ditubuhkan oleh seorang pemuzik, Shamsul Hadi.

Selain menunggang motosikal bersama-sama, Afad berkata, anggota kumpulan ini kerap melakukan usrah bersama-sama.

“Kebiasannya, kami akan berkumpul pada waktu tengah malam. Meskipun kami adalah artis, kami jarang berbual kosong.

“Sebaliknya, kami berbincang mengenai pelbagai isu seperti isu keagamaan, negara dan hiburan sendiri,” katanya.

Kenangan bersama Raihan

Bercerita mengenai pengalamannya bersama Raihan, Afad berkata, penglibatannya di dalam kumpulan nasyid tersebut selama 10 tahun adalah antara kenangan paling indah yang pernah berlaku di dalam hidupnya.

Katanya, dia mula menyertai Raihan pada 2006 setelah vokalis Raihan sebelum ini, Nazrey Johani meninggalkan kumpulan itu.

“Saya mula menyertai Raihan setelah menghadiri ujibakat yang dianjur kumpulan itu. Sewaktu saya diuji bakat, salah seorang daripada ahli kumpulan itu menegur saya kerana pernah mengecam saya sebelum ini.

“Saya beritahu mereka, saya bersama kumpulan saya pernah menyertai pertandingan dianjurkan Raihan dan berjaya memenangi pertandingan itu,” katanya.

Walaubagaimanapun, anggota kumpulan itu berpesan kepadanya bahawa tujuan tertubuhnya Raihan bukanlah berkisar kepada populariti dan keuntungan semata-matanya.

Sebaliknya, Raihan ditubuhkan untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat untuk mendekati serta mencintai Islam.

“Apabila saya mendengar peringatan tersebut, saya tidak berfikir panjang dan bersetuju untuk menyertai mereka,” katanya.

Antara pengalaman yang tidak pernah dilupakannya adalah sewaktu menganggotai Raihan apabila diminta menjadi vokalis utama dalam sebuah program televisyen, beberapa hari selepas sesi ujibakatnya dengan Raihan.

Katanya, pada mulanya, dia sepatutnya menjadi vokalis utama bersama-sama seorang lagi peserta ujibakat itu. Namun, lelaki tersebut tidak muncul semasa program itu hendak dilangsungkan.

“Pada ketika itu, hati saya sangat berdebar kerana saya tidak menghafal kesemua lagu Raihan. Namun, ahli Raihan menengangkan serta memberi sokongan kepada saya.

“Alhamdulillah, saya berjaya laksanakan tanggungjawab saya pada hari itu,” katanya.
Powered by Blogger.