F Penyanyi Filipina, Michelle Ayalde Lancar 'Hypnotic' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Penyanyi Filipina, Michelle Ayalde Lancar 'Hypnotic'

Penyanyi berasal dari Filipina, Michelle Ayalde mengambil keputusan melancarkan album terbaharunya berjudul Hypnotic di Malaysia kerana melihat penerimaan peminat tempatan terhadapnya cukup baik.

Michelle, 31, berkata, pengalaman bergelar penyanyi residen sebuah kelab di ibu negara sejak 2011 membuatkan dia mempunyai kelompok peminat tersendiri dan peluang merakamkan album adalah peluang keemasannya untuk terus mengembangkan karier nyanyian di negara ini.

"Saya menyanyi di kelab berkenaan sudah lima tahun termasuk di cawangannya di Pulau Pinang dan sepanjang tempoh itu saya lihat penonton yang hadir terhibur dengan persembahan saya.

"Ia satu kelebihan untuk saya apabila diberi tawaran menghasilkan album ini kerana saya sudah mempunyai pengikut.

"Saya selesa berada di Malaysia dan berharap kemunculan album ini akan dapat memberi peluang lebih besar kepada saya kelak," katanya kepada mStar Online.

 Michelle ditemui pada majlis pelancaran album terbaharunya itu di pejabat Warner Music Malaysia di sini, Jumaat.

Penyanyi itu bernaung di bawah syarikat rakaman tempatan iaitu Worldwide Platinum Records yang berpangkalan di Pulau Pinang.

Michelle sebelum ini juga pernah menghasilkan sebuah album di negara asalnya pada 2005 selain bergelar seorang pelakon.

Dalam pada itu, Michelle berkata, dia menerima pelawaan untuk merakamkan album selepas pihak syarikat rakamannya hadir menonton persembahannya di Pulau Pinang.

Kata Michelle, dia tidak berfikir panjang dengan tawaran tersebut kerana memang berhasrat untuk tampil dengan album terbaharu.

"Menerusi album ini saya berpeluang bekerjasama dengan beberapa penerbit dari Amerika Syarikat dan Afrika Selatan dan Hypnotic menampilkan tujuh buah lagu.

"Ia bagaikan mimpi menjadi kenyataan apabila berpeluang merakamkan album terbaharu dan berharap ia akan diterima baik peminat," katanya.

Sementara itu, Michelle berkata, dia juga sedang mengintai peluang untuk berkolaborasi bersama penyanyi tempatan selain melancarkan kariernya di Amerika Syarikat.

"Saya cukup suka dengan lagu Tiada Lagi nyanyian Amy Search dan sentiasa mendendangkan lagu tersebut ketika mengadakan persembahan.

"Ramai penyanyi Malaysia yang saya suka dan berharap dapat mengadakan kerjasama untuk lagu berbahasa Malaysia pada akan datang," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Michelle berkata, buat masa ini dia masih menyanyi di kelab dan tidak berhasrat untuk meninggalkan kariernya itu.

Malah katanya, ia adalah peluang untuknya mempromosikan album Hypnotic kepada peminat menerusi persembahan.
Powered by Blogger.