F Pemuda patut siasat siapa MO1 | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Pemuda patut siasat siapa MO1

ADA orang memuji Khairul Azwan Harun yang begitu bersemangat dan bertindak pantas membuat laporan polis, mendakwa ada pakatan untuk menjatuhkan kerajaan serta Najib.

Beliau membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi. Memang dakwaannya dalam laporan berkenaan ada nilai berita. Maka tidak menghairankan esoknya berita serta gambar beliau menjadi tajuk media.

Tetapi, lebih ramai yang marah dan menghujah apa perlunya Naib Ketua Pemuda Umno itu membuat tuduhan seberat itu? Ada juga yang bertanya siapa yang menyuruh beliau membuat laporan polis berkenaan?

* PAKATAN menjatuhkan kerajaan dan PM adalah satu tuduhan berat, lebih-lebih lagi yang dituduh berpakat itu ialah orang-orang yang diketahui umum telah begitu berjasa kepada negara.

Baik Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (mantan Gabenor Bank Negara), Tan Sri Abdul Gani Patail (mantan Peguam Negara) dan Tan Sri Abu Kassim Mohamed (mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM), diketahui sebagai penjawat awam yang gigih dan tegas.

Semua tahu keikhlasan, kegigihan dan ketegasan mereka dalam bidang masing-masing telah mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa.

Maka bagi sebahagian besar rakyat, dan sesiapa juga yang berfikiran waras, tidak mungkin tiga tokoh tersebut berpakat menjatuhkan kerajaan. Kalau hendak jatuhkan kerajaan gunakan undi pada pilihan raya.

* ADA pun tuduhan pakatan menjatuhkan kerajaan dan Najib itu dibuat berikutan satu prosiding sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat ke atas lima individu yang disyaki terlibat dalam skandal 1MDB.

Seperti yang dilaporkan beberapa media utama luar negara, dan kemudian dipetik oleh beberapa media tempatan, antara yang dinamakan dalam prosiding berkenaan ialah Riza Aziz, ahli perniagaan Jho Low, Khadem Abdulla Al-Qubaisi dan Mohammed Ahmed Badawy Al-Husseiny.

Seorang lagi yang disebut, tetapi tidak dinamakan dalam prosiding DOJ ialah ‘Malaysian Official 1’, atau MO1. Maka timbul tanda tanya: Siapakah gerangan individu bergelar MO1 itu?

* ANGGAPAN umum ialah si polan dengan gelaran MO1 itu pastilah orang terpenting dalam prosiding yang secara langsung meletakkan Malaysia dalam peta skandal dunia.

Seperti yang disiarkan media individu bertopengkan MO1 disebut bukan sekali – tetapi 36 kali – dalam dokumen mahkamah Jabatan Kehakiman (DOJ) AS setebal 136 muka surat itu.

Pada hemat saya molek benar sekiranya Pemuda Umno, atau mana-mana pihak yang berkenaan, mendesak DOJ supaya memberitahu siapa sebenarnya MO1 yang disebut 36 kali.

Itu lebih baik daripada membuat laporan polis mengenai tuduhan pakatan tiga individu yang kononnya hendak menjatuhkan kerajaan dan PM. Boleh cuba, mana tahu kot-kot DOJ dan FBI akur dan tunduk dengan desakan Pemuda Umno!

* LARI dari isu DOJ, FBI, MO1, dan 1MDB, saya hendak sentuh sikit mengenai perkara yang tidak kurang menariknya sehari dua ini, iaitu perihal ketum.

Sejak sekian lama ketum dikaitkan dengan benda negatif. Ketagihan ketum disamakan dengan ketagihan dadah.

Maka tentulah menghairankan apabila benda yang diketahui negatif kini hendak dipositifkan. Risda mencadangkan supaya pokok ketum ditanam secara komersial sebagai langkah untuk menambahkan pendapatan kepada pekebun kecil.

Logik Risda ialah ketum mendapat permintaan yang tinggi di Eropah. Sekarang mata wang Eropah tinggi berbanding dengan kita, maka kalau kita jual ketum pada negara Eropah pekebun kecil kita dapat tambahan duit.

Banyak pihak termasuk kerajaan-kerajaan negeri meminta kajian teliti dibuat sebelum kita mewujudkan ladang-ladang ketum di seluruh negara. Sepatah kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman:

“Jangan nanti kita ditertawakan orang kerana ia akan menimbulkan perkara negatif, kita tak mahu ramai yang khayal (akibat salah guna ketum).”

Bagi saya tidak perlu diteliti. Benda yang telah diketahui mudaratnya kenapa hendak dipromosi. Banyak lagi cara untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil. Maka, lupakan sahaja cadangan mengarut ini!

* AKHIR kalam, berbalik semula kepada tuduhan pakatan jatuhkan kerajaan dan PM, ramai berteka-teki kenapa Naib Ketua Pemuda yang buat laporan? Setakat rencana ini ditulis ketuanya, Khairy Jamaluddin, ketika ditanya wartawan, enggan memberi sebarang komen. Betapa pun didesak media, KJ memilih untuk membisu seribu bahasa. Maka membisu itu membuat orang lebih berteka-teki!

* Tok Perak
Powered by Blogger.