F Noraniza Idris cari pelapis irama etnik kreatif | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Noraniza Idris cari pelapis irama etnik kreatif

NAMA Noraniza Idris di dalam bidang seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Biarpun industri seni mula dibanjiri muka-muka baharu, namun penyanyi 48 tahun ini tetap berdiri teguh.

Bagaimanapun akui Noraniza yang mesra disapa dengan panggilan Ani, biarpun sudah 30 tahun berada di dalam industri seni dan memperjuangkan irama etnik kreatif serta tradisional, namun ia sebenarnya bukan tugas mudah.

Mengakui irama etnik kreatif dan tradisional tidak mempunyai golongan peminat yang ramai, lebih-lebih lagi dalam kalangan orang muda, namun ia tetap tidak mematahkan semangatnya untuk kekal dalam perjuangannya.

“Tidak dinafikan, aliran muzik ini tidak mempunyai golongan peminat ramai, tetapi ia tidak pernah mematahkan semangat saya memperjuangkan irama etnik kreatif.

“Malah saya juga tidak pernah terfikir untuk bersaing dengan aliran muzik lain, sebaliknya saya lebih selesa mengkaji pasaran.

“Walaupun lagu etnik kreatif jarang dimainkan di corong radio, saya lakukan promosi menerusi media sosial termasuk
YouTube dan sebagainya,” ujar penyanyi yang pernah mendapat gelaran Ratu Pop Etnik ini kepada Zass.

Jelas Noraniza, dia juga enggan melihat irama ini menjadi pilihan kedua buat pihak lain.

Justeru, biarpun sukar, sasaran utamanya kini adalah untuk menarik golongan muda meminati etnik kreatif.

“Selain mengkaji pasaran, saya juga sedang merancang pendekatan baharu dan kalau boleh, saya tak mahu ada pihak menjadi irama etnik kreatif sebagai pilihan kedua.

“Saya juga tidak mahu irama etnik kreatif jauh ketinggalan dan semakin dilupakan,” katanya.

Bagaimanapun dalam kekuatan dan azam perjuangannya itu, akui Noraniza, dia bukan lagi muda untuk melakukan perjuangan ini seorang diri.

Dek kerana itu, dia kini giat mencari pelapis di dalam irama ini dan salah seorangnya merupakan artis naungan syarikatnya sendiri iaitu Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd, Ihab Ismail.

“Saya sedar, selama manalah saya mampu untuk terus berjuang dengan usia saya sebegini.

“Dek kerana itu, saya merancang untuk mencari pelapis yang akan meneruskan perjuangan saya.

“Insya-ALLAH jika perancangan saya berjalan lancar, kita akan ada lebih ramai pelapis irama etnik kreatif pada masa akan datang,” katanya yang baharu sahaja mengambil dua lagi artis baharu di bawah naungannya iaitu Dalili Armeda dan Fee Haiqal.

Bercakap mengenai dua artis baharu tersebut, Noraniza berkata, Dalili merupakan bekas peserta Ceria Popstar sedang digilap bakatnya, namun dia menyukai tone suara Dalili yang berbeza.

Manakala Haiqal pula merupakan anaknya dan lebih cenderung kepada genre muzik yang berbeza.

“Saya kenal Dalili sebelum dia menyertai Ceria Popstar lagi dan saya suka dengan tone suara dia yang unik. Bagaimanapun nampak lagi dia cenderung terhadap etnik kreatif.

“Haiqal pula mempunyai kebolehan mencipta lagu dan menyanyi, tetapi muziknya lebih universal, jadi saya rasa tidak salah untuk dia menyertai industri dengan minatnya ini,” jelasnya.

Terbit album sendiri

 Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkininya,  Noraniza Idris berkata, dia kini masih sibuk mempromosikan album Ria Aidilfitri yang diterbitkannya sendiri.

Tidak hanya tampil dengan lagu raya semata-mata, dia juga turut menyelitkan sketsa pendek dan turut melibatkan ramai artis jemputan yang berduet dengannya.

Turut terlibat di dalam album tersebut adalah anak tirinya Fadzlee Sufri menerusi lagu yang dicipta sendiri bersama Haiqal berjudul Linangan Syawal dan Niatku.

“Album ini terdapat lapan lagu baru manakala empat lagi diberi nafas baharu,” katanya.

Antara lagu yang dimuatkan adalah Rewang Raya, Angin Cinta di Aidilfitri, Nostalgia Aidilfitri, Kasih Ibu, Ahlan Wasahlan Ya Syawal, Ria Aidilfitri dan Akaar Kita Zapin Aidilfitri.

Penyanyi jemputan yang turut terlibat seperti Mimi Fly, L’zzay Affandy, Royce Sa’ayan, Razis Ismail dan Azmir Arif.

Tambahnya, setiap pembelian album berkenaan juga sebahagian royalti akan disumbangkan kepada keluarga Dalili bagi membiayai perubatan bapanya yang menghidap kanser darah tahap akhir.

Selain itu, dia juga sedang merangka siri jelajahnya yang turut melibatkan Sabah dan Sarawak serta dijangka akan bermula pada bulan September ini.

“Ini merupakan tahun kelima saya mengadakan siri jelajah ini, cuma tahun ini ia tidak dapat diadakan lebih awal kerana album Ria Aidilfitri.

“Jadi siri jelajah ini akan berterusan sehingga Mac 2017 dan kita turut membuat beberapa kelainan di dalam siri jelajah kali ini,” akhirinya yang berharap siri jelajah tersebut akan mempertemukannya dengan bakat baharu di dalam irama etnik kreatif.
Powered by Blogger.