F Nadira Cabar Diri Buat Dua Kerja | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Nadira Cabar Diri Buat Dua Kerja

Meskipun kini sudah berjaya mencapai impian sejak kecilnya iaitu bergelar penyanyi namun pendatang baharu, Nadira Adnan tetap menunaikan tanggungjawabnya pada pengajiannya.

Seiring dengan kerjaya seninya, gadis 19 tahun ini juga terikat dengan komitmen sebagai pelajar perubatan di salah sebuah universiti di Indonesia.

Memetik laporan Kosmo!, Nadira mengakui sungguhpun sukar untuk memastikan dia berjaya dalam dua-dua bidang yang diceburinya namun dia menganggap ianya sebagai cabaran.

"Kalau ikutkan memang agak sukar untuk melakukan dua kerja sekali gus. Apa pun terjadi, pelajaran adalah nombor satu dan menjadi keutamaan. Perkara itu yang sudah ditekankan oleh ibu bapa saya. Bahkan, mereka juga sudah meletakkan syarat bahawa saya perlu menghabiskan pengajian jika mahu jadi penyanyi.

"Jadi, ini juga saya anggap sebagai satu cabaran untuk capai kedua-duanya. Insya-Allah, saya juga mahu menjadi seorang penyanyi yang juga merupakan seorang doktor,” katanya yang kini tinggal di Jakarta, Indonesia.

Tampil dengan album solo berjudul Isi Hati, Nadira akui bukan mudah untuk dirinya terus diterima ramai. Bahkan, dia juga memberitahu pernah melalui episod yang kurang menyenangkan ketika cuba membina nama.

“Tidak semua orang suka dan senang dengan kita. Ada juga komen-komen di laman sosial yang tak berapa sedap untuk dibaca. Antaranya orang mempersoalkan kesesuaian saya berduet dengan Al-Ghazali. Ada yang kata kami tidak sepadan. Tapi saya terima itu dengan positif. Ada yang menasihati saya agar tidak membaca komen-komen negatif,” katanya.

Selain berada di negara jiran atas sebab menyambung pengajian, kata Nadira, dia juga memilih Indonesia untuk membina namanya dalam industri muzik kerana mahu keluar daripada bayangan status anak menteri yang sering diberikan kepadanya.

Nadira atau nama sebenarnya Tengku Nadira Munawarah merupakan anak pasangan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datin Seri Anggraini Sentiyaki.

“Saya tahu ada orang kata, saya menggunakan nama orang tua untuk membina nama. Itulah antara sebab saya memilih untuk bertapak di sini. Tapi, saya sedar dalam hal ini jika saya mahu sembunyikan pun, lambat laun akan diketahui juga.

“Cuma mereka pernah kata, bahawa menjadi penyanyi atau ahli politik ini lebih kurang sama sahaja. Secara asasnya kami adalah figura awam yang sentiasa diperhatikan, jadi perlu berhati-hati dan pandai menjaga nama,” katanya.
Powered by Blogger.