F Mohon bantuan biayai bil hospital | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Mohon bantuan biayai bil hospital

Seorang pelajar tingkatan lima memerlukan bantuan kewangan untuk membiayai bil rawatan akibat kemalangan Rabu lalu.

Tang Miu Peng, 17, dari Taman Desa Rishah kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pantai, Ipoh.

Kakaknya, Tang Ooi Ling, 24, berkata, kemalangan yang berlaku di Jalan Sultan Azlan Shah berhampiran susur keluar Sekolah Tunku Abdul Rahman itu melibatkan motosikal adiknya dengan sebuah motosikal lain.

Menurut beliau, adiknya, Miu Peng yang membonceng motosikal tersebut patah tulang di bahagian muka, patah tangan kanan dan pendarahan di bahagian limpa dan hati.

“Sejak dimasukkan ke hospital, adik saya telah menjalani tiga pembedahan besar. Adik saya terpaksa dimasukkan ke hospital berkenaan memandangkan jarak kawasan kemalangan dengan lokasi hospital lebih dekat.

“Pada waktu itu, kami sekeluarga hanya mahu adik selamat. Kami ada bercadang membawa adik ke sebuah lagi hospital swasta iaitu tempat saya bekerja namun keadaan adik yang parah akan menyebabkan risiko lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini mereka hanya membayar deposit sebanyak RM7,000 bagaimanapun pihak pengurusan hospital telah meminta mereka membayar bil rawatan yang mencecah lebih RM80,000 selepas pembedahan dilakukan.

Katanya, doktor yang merawat adiknya tidak dapat memberikan jumlah sebenar kos rawatan kerana ia bergantung kepada keadaan serta rawatan susulan yang akan dilakukan di masa akan datang.

“Doktor hanya memberi anggaran sebanyak RM200,000. Kami tidak mampu membiayai bil tersebut dan berharap orang ramai dapat membantu.

“Ayah saya bekerja sebagai tukang kayu. Pendapatannya hanya cukup makan malah jika dikumpulkan bersama keluarga ia tetap tidak mencukupi,” katanya.

Ooi Leng berkata, selepas adiknya stabil mereka bercadang  meneruskan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun kerana tidak mampu menanggung kos rawatan yang tinggi.

Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan BN, Mohd Rawi Abdullah berharap masyarakat di luar sana dapat membantu meringankan beban keluarga tersebut.

“Sekiranya jumlah bantuan yang diterima lebih daripada anggaran tersebut, bakinya akan digunakan untuk membantu rakan adiknya iaitu penunggang motosikal yang turut mengalami kecederaan di bahagian perut dan kepala,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Public Bank, 4-3907506-12, Chang Yoke Chuan/Tang Miu Peng.
Powered by Blogger.