F Masjid di Selangor Diarah Solat Hajat Batal Konsert Selena Gomez | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Masjid di Selangor Diarah Solat Hajat Batal Konsert Selena Gomez

Baru-baru ini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali menyatakan pendapat beliau bahawa 'seksi adalah ciptaan Tuhan' ketika ditanya mengenai bantahan terhadap konsert artis antarabangsa, Selena Gomez di negeri itu.

Bagaimanapun pendirian itu nampaknya tidak senada dengan Exco Selangor daripada PAS, Datuk Ahmad Yunus Hairi.

Memetik laporan sebuah portal berita, menerusi satu kenyataan, Ahmad Yunus mengarahkan semua masjid di Selangor mengadakan solat hajat bagi memohon konsert itu dibatalkan.

Malah Yunus berkata umat Islam tidak merestui konsert dan hiburan melampau yang hanya akan mengundang bala daripada Allah.

"Umat Islam tidak akan redha dan merestui segala bentuk hiburan yang melampau termasuklah konsert Selena Gomez yang akan mengundang kemurkaan Allah SWT.

"Semua masjid di Negeri Selangor diarahkan mengadakan solat hajat selepas solat jumaat atau pada bila-bila masa yang sesuai sebelum konsert itu berlangsung untuk memohon kepada Allah SWT semoga konsert tersebut dibatalkan dan negeri Selangor yang kita cintai ini tidak ditimpa bala bencana.

"Juga diberikan hidayah oleh Allah SWT kepada pihak yang terlibat dalam penganjuran konsert ini," katanya.

Konsert Selena Gomez Revival Tour in Malaysia bakal berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam, 25 Julai ini.

Terdahulu, laporan media menyebut, konsert berkenaan mendapat bantahan Pemuda dan Muslimat PAS yang mengatakan artis berkenaan membawa imej seksi dan liar serta mengundang masalah sosial.

Namun Azmin berkata konsert itu akan diteruskan, walaupun mendapat bantahan dengan alasan pihak penganjur menepati semua syarat yang ditetapkan.

Beliau yang juga timbalan presiden PKR berkata penampilan seksi artis itu bukan perkara penting dan tidak sepatutnya dijadikan isu.

"Seksi itu ciptaan tuhan dan subjektif, jangan terlalu teruja mengenainya, kebanyakan peminat lebih tertarik dengan lirik lagu yang disampaikan oleh penyanyi berkenaan," katanya.

Powered by Blogger.