F Khai, Rosma cari alternatif | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Khai, Rosma cari alternatif

PASANGAN ini mencipta nama sekitar 13 tahun lalu, ketika Akademi Fantasia (AF) mula diperkenalkan. Merekalah antara pencetus fenomena artis 'segera', yang dicipta dalam masa kurang tiga bulan.

Walaupun sudah lebih sedekad, namun keduanya-duanya masih sinonim dengan program itu. Aura AF pada ketika itu melekat kepada pasangan pertama program AF yang berkahwin ini.

Gosip percintaan dalam diari terbawa-bawa hingga ke luar dan akhirnya mereka bersatu sebagai pasangan suami isteri lapan tahun lalu.

Zaman berubah. Khai dan Rosma kini tidak lagi seglamor dahulu. Zaman mereka di pentas glamour sudah 'menyepi'.

Namun, kedua-duanya tidak hilang dari industri, sebaliknya, pasangan ini terus mengecap bahagia dengan cara mereka sendiri.

Biarpun tidak muncul dengan album, tetapi pasangan ini sentiasa menerima undangan nyanyian, terutama Rosma.

"Saya masih aktif menyanyi. Terakhir saya menerima undangan mengadakan persembahan amal sepanjang Ramadan lalu di Hotel Quality Kuala Lumpur untuk majlis berbuka puasa.

"Selain itu, ada juga persembahan pentas selain sibuk menguruskan perniagaan dan anak-anak," kata ibu kepada dua cahaya mata Muhammad Amzar Danish, 7, dan Nur Amani Damia, 2 tahun.

Mengakui Aidilfitri kali ini tidak jauh berbeza seperti sebelumnya, lantaran pasangan ini lebih menumpukan kepada persiapan anak-anak sahaja.

Bagi Khai, perniagaan sudah menjadi fokus utama kerana kini minatnya lebih terarah kepada bidang itu.

"Kami cuti raya pun seminggu sahaja. Lepas tu kembali berniaga seperti biasa. Sejak beberapa tahun ini, saya memang tidak melibatkan diri dalam nyanyian kerana menumpukan perhatian terhadap produk kesihatan keluaran syarikat kami iaitu Magic Slims.

"Saya seronok jadi orang berniaga ni. Penat tu adatlah, tapi yang penting kepuasan diri," katanya.

Namun, Khai yang mengakui nyanyian sudah sebati dengan jiwanya sebelum ini akan cuba mencari kekuatan untuk menyanyi semula.

"Sejak beberapa tahun ini, saya memang tidak pernah menerima undangan menyanyi apa lagi nak rakam lagu.

"Mungkin sekarang persaingan terlalu banyak menyebabkan orang lama macam saya ni tidak dipandang. Kerana itu, saya menumpukan perhatian pada bidang perniagaan.

"Saya buat produk ni selepas kelahiran anak pertama kami. Kami mencari produk yang mampu mengembalikan kelangsingan tubuh kembali.

"Rosma sendiri turut mengamalkannya dan dalam tempoh beberapa bulan berjaya mengurangkan berat badannya," katanya yang mencari stokis untuk menjual produknya.

Cari peluang

Pada masa ini, hanya Rosma yang dilihat ligat menerima undangan persembahan, sementara Khai pula sibuk menguruskan perniagaan.

Tidak pernah berasa cemburu dengan kehadiran ramai bintang AF sekarang, Khai dan Rosma sebenarnya pernah mencuba mencari peluang dan ruang untuk muncul dengan album sendiri.

"Sejak awal lagi memang itulah cita-cita kami. Hanya Khai yang pernah ada album sendiri, saya belum berpeluang, ada lagu sendiri tetapi tidak mendapat peluang diketengahkan dengan baik.

"Sampai sekarang, saya masih mencari dan menunggu jika ada peluang untuk saya," katanya yang banyak menerima persembahan pentas.

Bagi Rosma, bukan mudah untuknya dan suami menerbitkan lagu mahupun album.

"Semuanya perlu melalui pelbagai proses yang perlu menggunakan duit yang banyak. Dalam keadaan sekarang, tidak banyak syarikat rakaman yang percaya pada kami, tetapi kami tidak sedih mahupun berkecil hati," katanya yang muncul dengan lagu duet bersama Khai Dengan Sekali Lafaz sekitar tiga tahun lalu.
Powered by Blogger.