F Kembara Cinta Heliza | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Kembara Cinta Heliza

DIPELAWA sebagai moderator pada Jelajah Kembara Cinta 2016 anjuran IBR Resources pada 23 Julai ini di Dewan Muktamar Pusat Islam Kuala Lumpur memberi peluang buat Heliza Helmi terus berkongsi ilmu.

Menurut penyanyi, pelakon dan pengacara ini, program berkenaan merupakan platform perkongsian dakwah, kemanusiaan dan hiburan Islamik.

“Saya merupakan salah seorang moderator bagi sesi Santai Syawal Ramah Mesra bersama Ustaz Nazery Johani dan Zulfadli Mustaza.

“Apa yang diharapkan perkongsian yang bakal berlangsung itu nanti bakal menyebarkan lebih banyak ilmu yang dapat dimanfaatkan oleh semua hadirin,” katanya.

Bercerita mengenai perkembangan terkini, Heliza berkata, dia akan melancarkan album Jom yang telah tertunda sejak sekian lama di laman sosialnya.

“Peminat boleh mendengar 11 buah lagu, doa, zikir dan sajak yang ada dalam album itu di laman rasmi Facebook Heliza Helmi atau di Instagram Nurheliza Helmi.

“Segala maklumat bagi tujuan pembelian disediakan bersama di laman berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Heliza turut mendedahkan kepadatan jadual dengan aktiviti ceramah, forum serta motivasi mengekangnya daripada menerima sebarang tawaran berlakon.

Kata pelakon filem Syurga Cinta ini, ada beberapa tawaran terpaksa dilepaskan ekoran terikat dengan jadual tugasan lain dan juga misi kemanusiaan.

“Tumpuan saya mungkin lebih kepada ceramah dan misi kemanusiaan. Saya suka melakukan perkara itu jadi sudah pasti tumpuan lebih terarah kepada aktiviti berkaitan.

“Lakonan pula memerlukan komitmen yang lebih dan saya tidak mahu terima tawaran kemudian melaksanakannya hanya seperti melepaskan batuk di tangga,” katanya.
Powered by Blogger.