F Kejutan baharu buat warga kota | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Kejutan baharu buat warga kota

MEMANG, hidup di Kuala Lumpur sentiasa ada kejutan. Pagi cuaca baik, tiba-tiba petang hujan lebat, dan terjadi banjir kilat. Kenderaan terendam dalam air, laluan menjadi sesak, temu janji penting terbatal.

Beberapa hari lalu ada lagi kejutan. Bukan bencana alam, tetapi perancangan manusia. Orang ramai diberitahu kadar bayaran meletak kenderaan dinaikkan. Tanpa sebarang notis DBKL menaikkan caj, berkuat kuasa serta-merta.

Hari ini buat pengumuman, esok terus naik harga. Boleh sesak nafas dengan tindakan mendadak ini. Mengejutkan lagi, naik bukan 10 atau 20 peratus, tetapi 150 peratus. Bukan sahaja sesak nafas, malah boleh terkancing gigi.

Kadar biasa caj parkir ialah 80 sen sejam, tiba-tiba meroket menjadi RM2. Jam kedua tambah RM3, dan naik lagi RM3 bagi setiap jam seterusnya. Sekiranya parkir sepanjang waktu kerja –  7.30 pagi hingga 6 petang – kena RM32.

Semua orang dan NGO pengguna menentang, menyuarakan rasa tidak puas hati menerusi media. Mereka merungut – dan menyumpah – cekik darah, tidak prihatin penderitaan rakyat, zalim.

Tetapi DBKL peduli apa? Datuk Bandar, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz menegaskan, kadar baru ini tetap dilaksanakan di kawasan-kawasan utama bandar raya – Bukit Bintang, Bukit Damansara, Sri Hartamas, Desa Hartamas, Solaris Mont Kiara, Taman Tun Sri Ismail dan Bangsar.

Konon bukan untuk mengaut keuntungan tetapi lebih untuk mengurangkan kesesakan, memandangkan setiap hari 3.5 juta kenderaan masuk ke bandar; 70 peratus darinya dipandu solo.

Kata Datuk Bandar sudah 40 tahun caj parkir tidak naik. Tetapi bagi orang awam itu bukan alasan untuk kenaikan 150 peratus, lebih-lebih lagi dalam keadaan rakyat dihimpit dengan pelbagai masalah ekonomi.

RM jatuh, barang keperluan naik, dan sekarang kena bayar RM32 sehari hanya untuk meletak kenderaan. Duit parkir sahaja hampir RM1,000 sebulan, tidak termasuk petrol, ansuran kenderaan, sewa rumah, hutang PTPTN, dan makan seharian.

Dengan GST dan lain-lain bayaran serta cukai, warga KL termasuk yang berpendapatan RM5,000, berasa tekanan hidup. Betapa pula halnya mereka yang bergaji di bawah RM5,000, naik kereta model paling koman pun kena bayar RM32 untuk meletak kenderaan. Memang orang ramai merintih dalam pilu.

Tetapi DBKL peduli apa? Kata Datuk Bandar: “Jika kita bandingkan dengan negara-negara Asean yang lain (caj parkir kita) masih murah.” Biasalah kalau ada kenaikan kita akan membandingkan dengan negara lain!

Memang kita hendak menjadi negara berpendapatan tinggi. Tetapi hasrat itu belum tercapai. Bukan sahaja pendapatan masih rendah, beribu-ribu pula kena berhenti kerja akibat kemelesetan. Gaji masih rendah, duit tidak cukup dan caj parkir naik 150 peratus. Apakah betul rakyat didahulukan?

Mudah sahaja Datuk Bandar menasihati orang ramai supaya menggunakan pengangkutan awam. Naik kenderaan awam, dan masalah kesesakan dapat diatasi, juga boleh menjimatkan belanja petrol.

Bercakap dalam bilik berhawa dingin memang mudah. Tetapi hakikatnya tidak semudah itu. Turunlah ke padang untuk mengetahui apa yang sebenarnya dialami beribu-ribu orang setiap hari.

Semua mengakui sistem pengangkutan awam kita tidak boleh diharap, menyakitkan hati. Baik bas, LRT dan lain-lain semuanya tidak mengikut jadual. Ini cerita lama yang sampai sekarang masih tidak diselesaikan.

Kalau bergantung pada pengangkutan awam produktiviti akan merosot sebab petugas lambat sampai ke tempat kerja. Semua orang tahu pengangkutan awam kita mungkin antara yang paling haprak di dunia.

Lagi teruk sekiranya teksi dijadikan pilihan. Tambang berkali ganda lebih mahal daripada bas. Banyak pemandu teksi menghisap darah lebih teruk daripada puntianak atau drakula. Ada meter mereka enggan pakai meter dan caj penumpang ikut suka hati.

Ramai pemandu teksi tidak mahu mengambil penumpang atas alasan jalan sesak, letih, nak ambil anak sekolah, isteri nak bersalin, macam-macam. Pendek kata pengangkutan awam kita masih amat tidak memuaskan. Sebab itu orang naik kenderaan sendiri.

Datuk bandar berkata, seperti yang dilaporkan media: “Saya sendiri sebagai warga kota akan menggunakan pengangkutan awam kerana ini kenderaan yang cepat dan selamat.”

Harap-harap esok atau lusa betul-betul beliau naik bas atau LRT ke pejabat. Kalau boleh tahan seminggu, saya tabik spring. Jangankan seminggu, mungkin sehari pun beliau tidak tahan.
Powered by Blogger.