F Kalau nak bersara, jangan main bola terus | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Kalau nak bersara, jangan main bola terus

"KALAU nak bersara, bersaralah terus dan tak payahlah bermain bola sepak, itu baru betul bersara namanya," itulah pandangan yang diberikan bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar kepada semua pemain.

Raja Ahmad Zainuddin juga menyifatkan ia satu kerugian bagi mana-mana pemain ketika semua pemain 'gila' untuk menyarung jersi negara yang menjadi kebanggaan buat individu bergelar pemain bola sepak.

"Bagi saya, jika ada pemain kata nak bersara daripada menyarung jersi kebangsaan tanpa sebarang alasan kukuh atau munasabah, eloklah tak main, senang cerita.

"Jangan kita kata nak bersara peringkat kebangsaan, tapi masih bermain di peringkat kelab atau negeri secara sepenuh masa. Jadi orang tak boleh nak pertikai atau jadi isu seperti sekarang ni," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, hari ini.

Pada Selasa dan Khamis lepas, Safiq Rahim yang juga kapten skuad kebangsaan dan pemain pertahanan Aidil Zafuan Abdul Radzak diikuti S Kunalan dan Mohd Amirulhadi Zainal masing-masing mengumumkan keputusan untuk bersara daripada mewakili skuad kebangsaan.

Tambah Raja Ahmad Zainuddin lagi, menjadi lumrah mereka yang bernama pemain bolasepak peluang menyarung jersi pasukan bola sepak kebangsaan merupakan satu kebanggaan.

"Sebagai seorang pemain, walaupun cedera mereka tetap nak bermain untuk negara. Inikan pula masih sihat, tetapi tidak mahu beraksi.

"Zaman dulu, pemain yang tidak disenaraikan dalam skuad kebangsaan akan menangis dan datang merayu itulah realitinya," katanya lagi.

Beliau turut mengulangi FAM perlu segera mewujudkan satu jawatankuasa khas untuk melihat keadaan dalam kem skuad kebangsaan yang menyebabkan wujudnya krisis seperti dialami ketika ini.

"Pasti ada sesuatu yang tidak kena dan perlukan kajian menyeluruh sebab kebiasaannya jika mahu bersara paling tidak jumpa jurulatih untuk maklumkan pengunduran.

"Maklumkan FAM dan berunding, mungkin ada pandangan yang akan diberi kerana sebagai pemain mereka bermain untuk negara, untuk maruah," katanya lagi.

Katanya, FAM perlu siasat tubuh jawatankuasa bebas untuk kaji perkara terbabit bagi memastikan 'penyakit' itu tidak merebak dan berjangkit kepada pemain lain.

"Nanti semua pemain buat perkara yang sama hingga suatu hari nanti kita mungkin takda pemain yang akan sarung pasukan kebangsaan.

"Ini bukan perkara yang boleh diambil mudah dan saya harap ia diberikan perhatian segera agar maruah pasukan negara tidak tercemar," katanya.
Powered by Blogger.