F Kabali versi Melayu: Pengalaman baharu buat penonton | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Kabali versi Melayu: Pengalaman baharu buat penonton

FILEM Tamil 'Kabali' yang merupakan filem pertama dialih suara ke dalam bahasa Melayu, memberi pengalaman baru buat penonton di negara ini.  

Filem itu yang ditayangkan hanya di pawagam-pawagam tertentu sejak Khamis lepas mendapat tarikan dalam kalangan peminat filem Tamil.

Filem penuh aksi yang dilakonkan bintang handalan Rajinikanth, memberi pengalaman baharu buat peminatnya Zainal Abidin Mohamed, 26.

Beliau yang telah menonton filem Kabali dalam bahasa asal Tamil dua kali, tidak ketinggalan untuk menonton filem ini dalam versi Melayu.

"Saya sangat teruja untuk menontonnya. Secara keseluruhannya, ia suatu pengalaman baharu namun sedikit janggal apabila menyaksikan versi alih suara ini seolah-olah Rajinikanth fasih berbahasa Melayu," katanya kepada Bernama.

Bagi M.Siva, 38, pula usaha menghasilkan Kabali dalam bahasa Melayu harus dipuji kerana ia dilihat berupaya menarik lebih ramai penonton dari kalangan orang Melayu mengikuti filem Tamil.

"Bagaimanapun tidak boleh dinafikan menonton Kabali dalam versi Tamil lebih memberi impak dan kepuasan kerana suara dan lenggok percakapan 'superstar' Rajinikanth itu sebenarnya memiliki auranya tersendiri yang tidak boleh ditiru sesiapa," katanya.

Sementara itu, Siti Nur Shahira Muhamad, 23, berkata beliau memilih untuk menonton filem Kabali versi Melayu kerana membantunya untuk lebih mudah memahami jalan cerita yang dipersembahkan.

"Saya lebih tertarik untuk menonton Kabali selepas mengetahui ia terdapat di dalam versi bahasa Melayu kerana dialog yang ditutur dalam bahasa ibunda itu memudahkan saya memahami cerita itu tanpa perlu bergantung kepada bantuan sari kata.

"Namun saya akui, terdapat sedikit elemen lucu dalam versi alih suara ini menerusi terma dan gaya bahasa yang digunakan sedikit sebanyak memberi kesan kepada penyampaian filem itu secara keseluruhan," katanya.

Filem Kabali merupakan filem ke-159 lakonan Rajinikanth dengan gandingan pelakon handalan Malaysia seperti Datuk Rosyam Nor, Norman Hakim, Zack Taipan, Tony Kassim termasuk pelakon popular Taiwan, Winston Chao.

Hos televisyen tempatan, V. Arun Kumaran diberi tanggungjawab sebagai pengalih suara watak pelakon utama dan dalam filem berkenaan Rajinikanth atau nama sebenarnya Shivaji Rao memegang watak samseng Don di Malaysia serta dikenali sebagai Kabaliswaran yang merupakan judul filem berkenaan.

Pelakon terkenal Fathia Latiff turut diberi kepercayaan untuk mengalihkan suara Dhansika, yang membawa watak anak Rajnikanth dalam filem itu termasuk pelakon Datuk Jalaluddin Hassan yang mengalih suara watak antagonis dalam filem itu.
Powered by Blogger.