F Jadual Padat, Aeril Zafrel Tiada Masa Bersama Keluarga | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Jadual Padat, Aeril Zafrel Tiada Masa Bersama Keluarga

Pelakon Aeril Zafrel bercadang untuk mengambil cuti selepas pementasan teater muzikal Lela Manja yang sedang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya tamat pada 31 Julai ini.

Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Suhari, 28, berkata, sejak Disember tahun lalu dia langsung tidak berkesempatan untuk bercuti kerana jadual kerjayanya padat dengan pelbagai aktiviti seni.

"Jujur saya katakan buat masa ini apa yang saya perlukan adalah waktu rehat berkualiti kerana sejak Disember lalu saya langsung tidak berkesempatan berbuat demikian.

"Jadual kerja saya begitu padat dengan pelbagai penggambaran dan aktiviti seni dan Insya-Allah sejurus selesai pementasan teater muzikal Lela Manja saya akan bercuti seketika," katanya.

Dalam pada itu, Aeril berkata, isterinya, aktres Wawa Zainal mula merungut apabila dia jarang meluangkan masa bersama keluarga.

Bagaimanapun kata Aeril, walaupun sentiasa sibuk dia akan memastikan sentiasa berkomunikasi dengan isterinya itu bagi mengetahui perkembangan sesamanya dan anak-anak.

"Memang isteri ada bising sebab saya asyik sibuk dan sebab itu juga saya mahu ambil cuti selepas tamatnya teater ini," ujarnya.

Tambah Aeril, dia akan membawa isteri dan anak-anaknya melancong ke Pulau Langkawi untuk merehatkan minda selain menghabiskan masa bersama keluarga.

"Saya pilih destinasi dalam negara kerana anak-anak masih kecil dan Langkawi adalah lokasi sesuai untuk kami seisi keluarga.

"Insya-Allah saya merancang untuk ke sana selama lima hari," katanya.

Dalam perkembangan lain, Aeril berkata, selain Lela Manja, dia juga baharu sahaja selesai menjalani penggambaran filem KL Vampire yang juga karya dari Indonesia.

Kata Aeril, penggambaran berlangsung di Indonesia selama 10 hari baru-baru ini yang turut menampilkan pelakon seperti Josiah Hogan, Reen Rahim dan Raja Ilya.
Powered by Blogger.