F Faizal Tahir fokus kepada iAMFAITHMEN | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Faizal Tahir fokus kepada iAMFAITHMEN

MESKIPUN namanya gah, namun ia sedikit pun tidak mengubah sikapnya yang suka menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

Itulah Faizal Tahir, 38, yang sedari kecil sudah dipupuk sikap seumpama itu.

“Saya masih ingat, di belakang rumah saya, ada beberapa orang penjual kain warga Pakistan dan Bangladesh yang jual kain.

“Acapkali mereka lalu rumah saya, saya akan minta mak beli kain daripada mereka. Kalau mak saya tak beli, saya akan menangis,” katanya sambil ketawa mengenangkan memori zaman kanak-kanaknya.

Jika ibunya enggan berbuat demikian, Faizal akan membeli kain tersebut dengan menggunakan  wang daripada tabungnya.

Sikapnya yang suka membantu itu membuatkan Faizal mengambil keputusan menubuhkan sebuah pertubuhan pergerakan menyemai sikap positif yang dikenali sebagai iAMFAITHMEN.

iAMFAITHMEN bukanlah sekadar pertubuhan yang membantu mereka yang memerlukan serta rakyat Syria, sebaliknya, iada adalah sebuah pertubuhan yang menyatukan sebanyak mungkin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu golongan yang memerlukan.

"Rancangan untuk menubuhkan iAMFAITHMEN telah saya fikir sejak mula-mula bergelar penyanyi.

"Namun, saya terpaksa menangguhkan hasrat ini untuk mengumpul sebanyak mungkin pasukan sukarelawan untuk mengerakkan iAMFAITHMEN,” katanya semasa sidang media selepas majlis rumah terbuka Red Box di The Gardens, baru-baru ini.

Kini, sudah tiba masanya Faizal melancarkan iAMFAITHMEN.

"Alhamdulillah, saya mendapat banyak respons positif daripada masyarakat. Saya tahu majoriti rakyat Malaysia suka membantu orang susah namun tidak tahu bagaimana untuk menyalurkan bantuan tersebut," katanya.

Pelantun lagu Mahakarya Cinta ini berharap, iAMFAITHMEN dapat menjadi perantara bagi masyarakat untuk menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Selain membantu golongan susah, tujuan pertubuhan ini adalah untuk menggalakkan masyarakat untuk sentiasa bersikap positif pada setiap masa.

“Jadi, apabila semakin ramai yang mengamalkan sikap positif, Insya-ALLAH, akan lebih ramai orang yang mahu memberikan bantuan pada masa yang akan datang,” katanya.

Kini, iAMFAITHMEN sedang berbincang dengan kerajaan untuk bekerjasama dalam melakukan kerja-kerja amal.

Ditanya mengenai projek terbaharu iAMFAITHMEN, Faizal akan ke Acheh, Indonesia bulan September hadapan untuk program kembara amal.

“Lawatan saya ke Acheh ini dibuat selepas dilamar sebuah syarikat yang mengajak saya ke sana. Saya bersetuju untuk ke sana selama empat hari tiga malam untuk melakukan kerja amal dengan membawa iAMFAITHMEN,” katanya.

Tubuh 'project band'

Selain itu, Faizal kini sibuk dalam rangka menubuhkan sebuah kumpulan bersama tiga sahabatnya, Noh Salleh, Aizat Amdan dan Mu’adz Dzulkefly.

Dengan nama FAITHMEN PROJECT, mereka bertiga akan membuat persembahan dan hasil kutipan jualan album itu akan disalurkan kepada tabung dana iAMFAITMEN untuk projek kerja amal pertubuhan berkenaan.

“Pada mulanya, kami hanya keluarkan satu single sahaja, iaitu bertajuk Kullu Hubi yang mungkin dilancarkan pada beberapa bulan lagi.

“Namun, setelah saya berbincang dengan mereka, kami bersetuju untuk menubuhkan sebuah kumpulan dan menerbitkan album bersama,” katanya.

Kata Faizal, selain menyanyikan lagu secara bersama, album tersebut akan memuatkan lagu solo nyanyian kesemua ahli kumpulan tersebut.

Anatomy Faizal Tahir

Dalam perkembangan berbeza, Faizal akan terbit dengan album baharunya pada awal September hadapan.

“Hampir setahun saya menunda persiapan album ini, Alhamdulillah, album baru dengan nama Anatomy Faizal Tahir akan dilancarkan tidak lama lagi.

“Walaupun sebelum ini, lagu-lagu seperti Assalamualaikum dan Sayang tampil dengan genre balada, namun, untuk album ini, saya akan terus mengekalkan genre rock yang menjadi identiti muzik saya,” katanya penuh bersemangat.

Terdapat 10 lagu di dalam album tersebut yang mampu memikat peminat muziknya. Antara lagu yang ada di dalam album ini adalah Suriram, Sejati, Bukan Yang Pertama dan beberapa lagu lain.

“Istimewanya album ini, lagu Assalamualaikum dapat didengar dengan empat versi berbeza. Lagu ini pernah saya nyanyikan dalam beberapa buah majlis anugerah,” katanya.

Tambah Faizal, album ini akan menyaksikan kolaborasinya bersama Datuk Siti Nurhaliza dan juga Joe Flizzow.

"Saya berduet bersama Siti Nurhaliza untuk lagu Dirgahayu. Lagu ini baharu seminggu siap kerana perlu menunggu Siti selesai mengerjakan umrah pada hujung Ramadhan lalu,” katanya.

Selain Siti dan Joe, saya juga ada berduet bersama SonaOne dan Altimet.

Lebih menarik, sebuh lagu baharu dengan genre muzik hip hop menggandingkan Faizal bersama Joe Flizzow, SonaOne dan Altimet.

"Lagu ini berjudul Negaraku begitu menarik kerana ini inilah kali pertama saya cipta lagu yang jauh daripada konsep kebiasaan, kemudian menggandingkan pula nama-nama besar dalam muzik ini.
Powered by Blogger.