F Faizal pilih watak protagonis | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Faizal pilih watak protagonis

NAMA Faizal Hussein tidak asing dalam industri perfileman tempatan. Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan dia salah seorang pelakon serba boleh, mampu membawa watak jahat ataupun baik dengan cemerlang.

Lakonan mantapnya telah berjaya membuatkan ramai penonton terpikat dengannya hanya dengan  watak yang dilakonkannya hingga bilangan peminatnya semakin bertambah, tidak kira usia dan kaum.

Kebanyakan peminatnya tidak akan melupakan watak Azroy dalam filem Gila-Gila Remaja pada tahun 1986 bersama sepupunya Datuk Rosyam Nor, yang menjadi batu loncatan kepada kariernya dalam bidang seni.

Di samping itu, sisi lain Faizal yang berjaya meletakkan dirinya cukup selesa dalam gelanggangnya sebagai pelakon apabila muncul dengan watak Prebet Ayob dalam filem bercorak sejarah, Leftenan Adnan pada tahun 2000 bersama Hairie Othman membuatkan peminatnya mengeluarkan air mata saat Prebet Ayob maut dibunuh askar Jepun.

Darah seni daripada ayahnya Allahyarham Hussein Abu Hassan dan ibunya Allahyarhamah Mahyon Ismail tidak disia-siakannya.

Selain watak protagonis, Faizal ataupun nama sebenarnya Mohd Faizal bin Hussin, 49, juga mampu membawakan watak antagonis dengan baik. Antara watak jahat yang dibawakan adalah Frankie menerusi filem Gerak Khas 2 The Movie, arahan Datuk Yusof Haslam.

Peminat drama 1990-an mungkin tidak akan lupa drama bersiri popular bercorak ilmu pertahanan diri pada zaman 90-an, Hati Waja, yang mana Faizal diberikan watak jahat utama di samping Rusdi Ramli. Ramai penonton membenci seketika Faizal kerana perlakuannya di dalam drama itu.

Selektif pilih watak

Lebih empat dekad, Faizal sudah mewarnai industri seni hiburan. Namun, seiring dengan injakan usianya, Faizal sudah mula berfikir untuk lebih selektif dalam memilih watak jahat yang ditawarkan kepadanya.

Katanya, kedua-dua anaknya membesar dan semakin mengerti watak yang dilakonkannya dan tidak mahu anak-anaknya dipandang serong oleh rakan-rakan mereka akibat watak jahat yang dilakonkannya.

“Adakalanya, mereka tanya saya saya berlakon watak baik atau watak jahat.

"Jadi, saya kasihan dengan mereka kerana takut mereka diejek oleh rakan-rakan mereka sekiranya saya melakonkan watak jahat,” katanya sambil berseloroh.

Pun begitu, Faizal tetap akan berlakon watak protagonis jika merasakan watak itu sesuai dengan jiwanya.

“Sekiranya ditawarkan watak jahat, saya akan meneliti dahulu skrip sebelum mempertimbangkan untuk menerima watak berkenaan,” ujarnya.

Muncul bersama Simon Yam

Dalam perkembangan lain, Faizal akan muncul dalam filem aksi, Mrs. K yang bakal menjengah pawagam pada tahun hadapan.

"Saya sendiri tidak sabar untuk melihat hasilnya. Bagi saya, jalan cerita filem ini sangat menarik untuk ditonton.

“Tambahan pula, filem ini dibintangi pelakon filem aksi terkenal Hong Kong, Simon Yam dan juga aktres juga daripada Hong Kong, Kara Hui,” katanya yang diberikan peranan jahat iaitu Thick Eyebrow.

Menerusi filem tersebut, Faizal menjadi adik ipar kepada Simon yang memegang watak utama yang dikenali sebagai Scarface, seorang anggota polis yang menyamar sebagai ahli kumpulan perompak.

“Selepas melakukan siri rompakan, Mrs. K lakonan Kara dapat menghidu Simon adalah anggota polis dan Mrs. K membunuhnya.

"Namun, Scarface tidak mati dan dia dihanyutkan air sehingga di sebuah perkampungan yang dihuni oleh Thick Eyebrow.

“Scarface kemudiannya mengahwini kakak Thick Eyebrow dan mereka berdua bekerjasama untuk membunuh majoriti ahli kumpulan yang dipimpin Mrs. K,” katanya.

Filem tersebut diarahkan oleh sutradara terkenal tempatan, Ho Yuhang yang berjaya menggondol beberapa anugerah di peringkat antarabangsa dan kos pembuatan filem itu dianggarkan bernilai jutaan ringgit.

Ditanya mengenai cabaran menjayakan watak berkenaan, Faizal berkata, pengarah filem tersebut tidak memohon banyak permintaan untuk bagi melakonkan watak Thick Eyebrow.

“Cuma, saya diminta untuk menggelapkan kulit memandangkan kulit Simon lebih gelap daripada saya. Jadi, saya terpaksa berjemur beberapa jam sebelum memulakan penggambaran filem berkenaan,” katanya sambil ketawa.
Powered by Blogger.