F 'Dia masih bidadari saya...' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

'Dia masih bidadari saya...'

“Saya sanggup uruskan isteri dari hujung kaki sampai hujung rambut selagi hayat masih dikandung badan,” demikian tekad Safwadi Ishak, 39, suami kepada Siti Rosnah Mohd Isa, 49, yang lumpuh seluruh badan sejak empat bulan lalu.

Safwadi yang tinggal di Indera Mahkota 2 di sini berkata, dia yakin dengan ketentuan ALLAH kerana memilih mereka berdua untuk menanggung dugaan itu.

Katanya, dia turut yakin ada hikmah di sebalik kejadian yang ditempuhi selepas 14 tahun berkahwin.

“Seberat mana bebanan ditanggung, tak pernah lemahkan semangat saya untuk terus berada di sisinya.

“Walaupun pada awalnya doktor kata isteri saya tak ada harapan sembuh, tapi siapalah kita nak menidakkan kerja ALLAH. Alhamdulillah, dari semasa ke semasa kesihatannya menunjukkan perkembangan positif dan saya mengharapkan ada keajaiban berlaku,” katanya.

Safwadi berkata, doktor pakar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) mengesahkan saluran darah dalam kepala isterinya pecah hingga terjadinya darah beku, justeru pembedahan terpaksa dilakukan bagi mengeluarkan darah berkenaan.

Katanya, selepas sebulan dirawat di HTAA, Siti Rosnah dibenarkan pulang namun setiap minggu dia perlu menjalani rawatan fisioterapi di HTAA.

“Kehidupan dia yang sebelum ini aktif kini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada saya. Saya suapkan makan, mandi, angkat, pakaikan lampin setiap hari.

“Dia tak mampu bercakap. Bila lapar atau haus, dia hanya boleh menangis macam bayi. Untuk tenangkan fikirannya saya bawa dia jalan-jalan di kawasan taman guna kerusi roda, selain naik kereta ke bandar,” katanya yang menjalankan perniagaan produk kesihatan.

Menurutnya, selepas menerima rawatan, perubahan sudah dapat dilihat apabila tangan kiri isterinya sudah bergerak.

“Kasih sayang saya tidak pernah pudar, sama seperti mula-mula berkahwin dahulu malah tak pernah anggap keadaan isteri sebagai bebanan. Dia masih bidadari saya untuk dijaga dan dibelai sentiasa hingga ke akhir hayat kami,” katanya yang masih belum dikurniakan cahaya mata.
Powered by Blogger.