F Demam Kabali landa Malaysia | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Demam Kabali landa Malaysia

PARA peminat tegar superstar filem Tamil Rajinikanth didapati tidak sabar menunggu tayangan Kabali, filem terbaharu yang menonjolkan pelakon pujaan mereka itu sebagai pelakon utamanya.

Mereka semakin teruja apabila melihat poster filem itu terpapar di merata tempat, termasuk dua paparan gergasi yang menampilkan gambar Rajinikanth di Federal Cinemax, tempat tayangan perdana filem itu akan diadakan.

Demam Kabali bertambah terasa apabila dua usahawan mula menjual baju T yang memaparkan gambar Rajinikanth sebagai Kabali, manakala lagu hit daripada filem itu yang berjudul 'Nerupuda' pula menemui peminat melalui Facebook, Twitter dan Instagram sejak beberapa bulan lepas, bersempena pelancaran filem berkenaan.

Setakat ini, Mugen Rao, peminat tegar pelakon berusia 65 tahun itu, sudah menjual 450 baju T daripada kain kapas berwarna putih yang mengabadikan imej Rajinikanth dan lagu hitnya, 'Nerupuda', yang bermaksud 'membara'.

Pelakon dan penyanyi berusia 21 tahun itu berkata dia berbuat demikian kerana ingin mencipta jenama bagi legenda filem Tamil berkenaan.      

"IPP Studios mengambil masa seminggu untuk menyediakan corak baju itu, saya pula mengambil masa seminggu untuk mendapatkan tempahan, yang sambutannya begitu hangat berbanding hanya 50 helai yang dirancang pada awalnya, dan seminggu lagi untuk mencetaknya di Melaka sebelum diserahkan kepada pelanggan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Selain mendapat tempahan termasuk dari Sabah dan Sarawak, Mugen berkata peminat Rajinikanth dari Singapura juga berminat mendapatkan baju itu yang berharga RM25 sehelai.

Seorang lagi usahwan, V.Selvie. lebih mesra dengan panggilan V-Sha, berkata setakat ini dia sudah menjual secara dalam talian kira-kira 50 baju T Kabali pada harga RM50 sehelai, termasuk bayaran pos.

Bekas penyampai THR Raaga itu berkata: "Saya gembira kerana mendapati begitu banyak rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang kehidupan meminati Rajinikanth dan amat teruja menanti tayangan Kabali minggu ini.

Dalam 'Kabali', Rajinikanth, nama sebenarnya Shivaji Rao, melakonkan watak seorang pensyarah di Malaysia bernama Kabaliswaran, yang menjadi judul filem itu.

Filem ke-159 lakonan  Rajinikanth ini pertama kali mendapat perhatian rakyat Malaysia, terutama peminat filem Melayu, apabila beberapa pelakon handalan tempatan seperti Datuk Rosyam Nor, Norman Hakim, Zack Taipan, Tony Kassim dan pelakon popular Taiwan, Winston Chao, ditawarkan turut membintanginya.

Malik Streams Productions and Distribution akan mengedar filem itu untuk tayangan di Malaysia di samping versi asalnya dalam bahasa Tamil.

Sementara itu, pengurus projek Kabali, T.Veerasegar berkata tayangan perdana filem itu akan diadakan di Pawagam Federal di sini hari ini.

Bagaimanapun, kata beliau, ia hanya terbuka kepada jemputan khas dan akan turut dihadiri seniwati filem India, Dhansika, yang melakonkan watak sebagai anak Rajinikanth dalam filem berkenaan.

"Filem ini akan menemui penonton di pawagam pada Jumaat (22 Julai) secara serentak di seluruh dunia. Tayangan pertama diadakan pada tengah malam Khamis," katanya.

Beliau berkata filem itu akan ditayang di 480 pawagam seluruh negara, dengan versi Melayunya ditayang pada 29 Julai selepas tayangan perdana pada 28 Julai.
Powered by Blogger.