F Debar menanti Lela Manja | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Debar menanti Lela Manja

KOMITMEN penuh ditunjukkan oleh barisan pelakon teater Lela Manja yang bakal menemui penonton dua hari lagi menguatkan keyakinan pengarahnya, Ramli Lani.

Menurutnya, kesungguhan bagi menjayakan teater ini melalui latihan yang dimulakan pada 17 Jun lalu menyumbang kepada kelancaran perancangan yang dilakukan.

“Persiapan telah siap sepenuhnya dan kita cuma polish aksi pelakon seperti untuk adegan silat bagi menambah keberkesanan lakonan masing-masing.

“Saya puji komitmen artis-artis terlibat dan pada masa yang sama tidak sabar untuk melihat apa yang akan mereka persembahkan sepanjang teater dipentaskan nanti.

“Saya percaya mereka mampu kekalkan emosi dan karakter yang dibawa masing-masing demi memberi kepuasan kepada penonton yang menantikan teater adaptasi filem asal Lela Manja pada 1960,” katanya.

Menurut Ramli, kekuatan yang ada pada barisan pelakon teater ini seperti Nabila Huda, Sari Yanti, Shahronizam dan lain-lain, akan menambah tarikan kepada orang ramai untuk menontonnya.

“Besar harapan saya selaku pengarah mahu kecemerlangan yang ditunjukkan seluruh pasukan ini berterusan dan memberi persembahan yang menarik orang ramai yang datang menonton,” katanya sambil mengakui, debaran pasti dirasai apatah lagi Lela Manja merupakan teater pertama arahannya selepas 20 tahun bergiat aktif di belakang tabir.

Percubaan pertama

Bagi Aeril Zafril, Lela Manja merupakan pentas teater pertama untuknya mengasah bakat dalam laman teater tempatan.

“Saya gembira kerana dipelawa berlakon dalam teater ini dengan memegang salah satu watak utama yang turut menuntut kemahiran bersilat dan menari.

“Masa latihan yang ada terlalu singkat untuk saya, namun cabaran itu saya ambil untuk mencungkil bakat berlakon teater yang ada pada diri saya.

“Teater bagi saya merupakan satu bentuk seni lakonan yang lebih besar. Ia bukan hanya ekspresi muka yang dilakukan bagi merealisasikan sesuatu watak.

“Semua tenaga perlu digerakkan bagi memastikan watak yang dibawa sampai kepada penonton sekali gus intipati cerita yang disampaikan mampu meruntun emosi penonton,” katanya.

Menurut Aeril, kerjasama baik yang diberikan pelakon berpengalaman berlakon teater membantunya lebih mudah faham dengan tuntutan sebagai seorang pelakon teater.

“Sudah pasti bantuan pelakon lama serta pengarah amat saya hargai kerana mereka tidak berputus asa berkongsi ilmu dan sabar membantu saya mendalami watak yang diberikan," katanya.

Shahronizam nanti respons

Memegang watak Sang Naka yang merupakan suami kepada Dang Suri, pelakon berpengalaman Shahronizam Noor tidak sabar menanti respons penonton terhadap teater adaptasi filem klasik Lela Manja itu.

“Komitmen terhadap teater ini juga menyebabkan saya perlu menolak beberapa tawaran drama dan dua telemovie," katanya.

Berpengalaman sebagai pelakon teater sejak 1991, beliau tidak lokek berkongsi ilmu dengan pelakon baru yang masih bertatih untuk bergelar pelakon teater.

“Saya sentiasa bersedia berkongsi ilmu dengan pelakon baru asal mereka mahu melakukannya dengan bersungguh-sungguh selain menjaga disiplin masing-masing.

“Setakat ini saya berpuas hati dengan kerjasama diberikan pelakon-pelakon muda yang mahu belajar dan tidak segan bertanya demi menjayakan watak masing-masing,” katanya.

Sedikit mengenai jalan cerita teater ini, ia berkisarkan kehidupan adik-beradik, Lela dan Manja yang dizalimi ibu tiri mereka.

Lela Manja akan dipentaskan di panggung berprestij Istana Budaya (IB) pada 22, 23, 24, 29, 30 dan 31 Julai.
Powered by Blogger.